Wednesday, December 18, 2013

AGODA: BAIK BURUK MENEMPAH HOTEL


Musim cuti sekolah dan cuti menuju tahun baru ini, ramai sekali mengambil peluang bercuti. Termasuklah saya. Tapi saya ni selalu saja buat keputusan saat akhir sama ada destinasi ataupun tempat mana nak menginap. Malam tadi baru saja saya ambil keputusan untuk cari hotel di Johor Bahru. jenuh jugalah mencari yang sesuai dan cukup untuk budget. Al maklumlah lepas cuti, sekolah nak buka. banyak juga nak pakai tu.

Dalam mencari hotel di JB ni, klik lah saya hotel yang di'link'kan melalui Agoda. Memang saya pernah dengar nama ini tapi belum pernah menggunakan khidmatnya. Banyak sekali hotel yang disenaraikan oleh Agoda. Dari yang lima bintang hingga yang tiada bintang. Malah yang menariknya kita boleh survey melalui review oleh orang-orang yang pernah menginap di hotel yang kita intai tu. Dapatlah tahu buruk baiknya, bersih ke kotor atau cekap atau tidak servisnya.

Jadi saya pun dengan yakin menempah satu hotel yang taklah banyak benar bintangnya. Maklumlah kita nak tidur saja, siangnya kita merayau. Tapi adalah kemudahan gym dan kolam mandi untuk anak-anak. Dalam laman hotel tu macam menarik aja gambar-gambarnya. Berkenanlah kita. Lalu tempahlah satu bilik yang kira-kira boleh muat kami berempat. Perlu diingat, Agoda ada bagi syarat dan persetujuan yang perlu kita akur. Tapi saya ni yang jenis ok aja, lalu masukkan aja no kad dan pay thru ajalah. Saya tempah untuk masuk 19 dan keluar 21 Disember.

Tapi hari ini sebenarnya saya sudah di JB cuma duk di hotel lain. Anak-anak memang gemar masuk keluar hotel. Environment baru katanya. Jadi kami duk di hotel lain tapi hati gatal mahu juga pi tanya hotel yang saya tempah melalui Agoda tu. Lalu saya pun tanyalah. Alamak, bilik yang indah dan jangkaan saya muat untuk kami berempat rupanya salah jangkaan. Kata staf, itu bilik double single. Eh! saya tengok memang double queen. Jadi silaplah saya. Lalu sayapun cakaplah mahu tukar bilik dan jika perlu tambah bayaran saya sedia. Tapi apa jawab staf yang baik itu, "maaf encik, encik kena berurusan dengan Agoda untuk sebarang perubahan". Maksudnya saya kena mengadap internet untuk buat tambahan atau penukaran.

Saya pun baliklah ke hotel yang saya duk ni, surf Agoda. Tentulah perubahan itu ada kosnya. Bila saya hitung balik memang bertambah kos saya. Lalu saya buat pembatalan penempahan. Tapi kena ingat, saya dah buat pay thru untuk dua malam. Bila dah buat batal, saya kena bayar kos Agoda, dek kerana tempoh pembatalan saya dalam masa satu hari, maka saya kena dikenakan bayaran sebanyak separuh kos dua malam hotel itu. Cis!!!!

Nak menyumpah pun tak guna. Senyap ajalah. Sebab dah memang syarat Agoda begitu. Inilah salah satu sebab kenapa sya tak suka berurusan dengan perkhidmatan seperti ini. Ia jadi rumit jika kita ada masalah. Bagi saya lebih baik berurusan terus dengan pihak hotel supaya kita dapat maklumat jelas. Bukan pakai tengok gambar saja.

Dah nak buat macama mana. Silap sendiri.Agoda tu orang berniaga. mana mahu rugi maaaa...

Monday, December 9, 2013

CUTI SEKOLAH YANG HAMBAR

foto ini saya rakam waktu saya
di pintu bertolak. 

Entah kenapa saya jadi kesian dengan dua anak saya. Sepatutnya cuti sekolah adalah masa mereka bercuti. Istilah bercuti ini agaknya seperti melancong ataupun balik kampung. Tapi tahun ini, rancangan berubah. Kedua-dua anak buat pilihan tak mahu balik kampung. Dia merayu supaya mereka tidak dihantar tinggal dengan datuk neneknya. Kalau tidak, setiap bulan disember, saya dan isteri harooray tengok wayang bersama atau dinner hingga lewat malam.

Saya tanya mereka kenapa tak mahu balik kampung, kata mereka 'bosan'. Saya faham benar dua beradik ni. Bosan kerana biasanya bila cuti sekolah kami hantar mereka untuk masuk kem agama di kampung. Kira dua ke tiga minggu jugalah. Jadi ini auta mereka. Satu lagi yang saya faham, mereka tak betah dengan disiplin neneknya. Memang saya akui, mak mertua saya garang. Pantang kalau perangai kurang sikit dimarahnya. Saya pun dimarah lagikan cucu-cucunya. Jadi, saya congak jugalah memandangkan anak sulung sudah 13 tahun. Riak remajanya sudah nampak. Saya setuju tapi saya pun ada syarat juga. Mereka tetap kena ikut kelas agama. Tapi saya bawakan seorang ustaz untuk mengajar tiga kali seminggu ke rumah. Anak-anak saya setuju asalkan tidak balik kampung.

Cuak saya pun ada juga, kerana sepanjang cuti sekolah ini, saya pun ada dua tiga projek yang mem'busy'kan saya di luar. Sekejap-sekejap saya outstation. Lepas outstation saya berlari ke projek lain pulak. Jadi masa untuk mereka hanya sebelah pagi sahaja. Bila petang saya sudah keluar rumah. Dengan penat, saya tak sempatlah nak masak-memasak jadi kami banyak makan di luar. Saya kira itupun satu cara untuk mereka rasa bercuti, tidak terkepun dalam rumah sahaja.

Ikut rancangan, cuti sekolah ini jugalah saya janji mahu bawa mereka keluar. Setakat ini pasport sudah saya siapkan. Cuma jadual dan penginapan belum saya buat. Harap-harap dapat saya penuhi janji itu.

Monday, November 18, 2013

PENGAT PISANG GELAP-GLEMAK


Bukan susah buat benda ni. Saya kalau datang mood yang baik, memang inilah manisan yang selalu saya masak. Bukan apa, saya cukup suka dengan tekstur kuahnya yang lembut dan berkrim. Tambah kalau dapat pisang yang elok. Saya rasa anda pun pernah masak benda ni. Bukan masakan pelik dan ciptaan baru pun. Tapi elok juga saya share, mana tahu ada anak-anak muda yang tercari-cari resipinya. Tapi kena ingat, ini resipi versi saya yang tak berapa nak hebat ni huhuhu.

Nak dijadikan cerita, hari tu waktu menjamu kawan-kawan makan nasi saya sediakan manisan ini, risau juga takut mereka tak gemar. Maklumlah kalau dilihat pada warnanya, ia memang tidak membangkit. Gelap dan suram sahaja. Saya pun hanya masak sesikat sahaja jadi dapatlah saya bagi dua-tiga potong untuk mereka rasa. Tapi rupanya mereka suka malah bertambah pula ceduknya. Ada sampai licin mangkuk dikokotnya.

Nah ambil resipi ni:

1 sikat pisang abu (lebih kurang 14-16 biji) dipotong kecil kemudian rendam dalam air kapur. Tujuan saya rendam dalam air kapur ini supaya bila kita rebus nanti, isinya tidak lebu. Carilah pisang yang baru masak, jangan sudah masak dan lembik. Tak sedap nanti. Eloknya yang separuh kuning hijau.

Pisang yang telah ditoskan direbus dengan sedikit air, jangan banyak sangat airnya. Rebus sehingga masak. Masa masak tu masukkan sekali daun pandan dan dua tiga bunga cengkih.

Masukkan gula melaka (orang Kelantan sebut Nisan keret) dalam enam keping. Saya tak suka masukkan gula pasir. Manisnya tak lemak. Kalau ada gula nipah, masukkan sesudu. Bila dah larut atau separuh larut gula melaka itu.

Masukkan santan pekat. Saya suka pekat maka saya masukkan dua biji kelapa. Memang pekat dan lemak berkrim. Masukkan sedikit sagu dalam 2 sudu. jangan banyak nanti terlebih sagu dari santan. Biarkan ia mendidih seketika. Tak payah lama sangat nanti pecah minyak jadi tak sedap. Masukkan secubit garam untuk bangkitkan lemaknya.

Dah siap untuk hidang. Makan dengan pulut atau roti pun sedap.



Wednesday, November 13, 2013

RHEA DAN BALLET

memang ketara saiz mereka. Tapi jangan terkejut
kalau Rhea lebih fleksibel.
Kecenderungan anak adalah pelbagai. Ia datang dari pengalaman mereka melihat dan merasa. Ibu bapa yang memesrakan minat itu tumbuh. Mungkin ibu bapa tidaklah berbakat dalam tarian atau nyanyian tapi kalau itu hiburan yang ditonton anak yang kecil akan memupuk minat itu. Saya tidak ajar Rhea menari bahkan saya pun memang kaki kayu. Tapi kami minat menonton rancangan hiburan. Mungkin juga minat Rhea ini bercambah dek program Akademi fantasia. Tapi saya kira program kanak-kanak di channel Nickolodeon, Disney Channel dan beberapa lagi turut mempengaruhi. Rhea suka menonton animasi Barbie dan dia juga suka kartun tikus Angelina Ballerina.

Rhea jenis tak mahu mengalah. Dia tidak
suka bila orang kata dia tidak boleh buat.
She takes the challenge!
tapi bukanlah sebab itu lalu kami menghantar Rhea ke kelas tarian. Semasa usianya cecah 6 tahun beratnya bertambah. badannya bulat sehingga tenggelam lehernya. Dia bongkok. Jadi maminya mendapat nasihat dari guru tarian ballet supaya memasukkan Rhea ke kelas untuk membetulkan postur badannya. Lalu bermulalah Rhea dengan rutin tariannya.

Foto diambil waktu hari Rhea menyambut usia 6 tahun. Kami sekeluarga keluar makan-makan. Lihat sahaja badan Rhea. lehernya pendek dan badannya membulat dan melengkung.


Namun kami tidak mengetahui kebolehannya dengan jelas. Bila masuk kelas baru jelas bahawa Rhea punya potensi dan kebolehan menari semulajadi. Gurunya, Dorris memuji kebolehan itu. Tempoh setahun Rhea dalam kelas, kami lihat perubahan badannya, lehernya memanjang dan badannya menegak, dia sudah memahami cara berjalan dan berdiri dengan betul.

Bersama Miss Dorris, guru lulusan dari UK.
Saya kagumi caranya melatih. Tegas tapi
tidak menengking. Bahasanya teratur.
Hari itu, 9 Nov 2013 kami sekeluarga menghadiri konsert tari sekolah tari Rhea, Meadow Ballet Academy. Rhea masih banyak kelemahannya. Dia kini berada di Gred 3. Kami tidaklah membina harapan untuk dia jadi seorang penari, kami mahu dia tingkat keyakinan, percaya diri dan merasai dunia kanak-kanak seperti fantasi yang ditontonnya di TV. 

Thursday, October 24, 2013

PINDANG SELAR MERTUA


Mertua saya sangat suka masak. Ia bagai terapi buatnya. Sejak saya kahwin badan naik bertingket-tingket! Mana tidaknya, ibu mertuaku ini kalau masak tidak boleh satu atau dua lauk dalam satu hidangan. Biasanya ada tujuh jenis masakan. Kami sangat biasa dengan tujuh hidangan, kalau hanya tiga atau empat ia jadi pelik atau ibu mertuaku akan kata "hari ini tak ada apa pun". Nak lebih seronok, saya, isteri dan anak-anak memang kaki makan. Makin syoklah ibu mertuaku masak. Bukan sekali tapi kerap dalam satu hidangan makan malam kami ada tujuh lauk bersama nasi dan makanan sampingan berupa laksa. Jadi apa nasib saya? Memang bertingket-tingket dan berjangkit-jangkit lemak menaik. Anak saya memang tidak pernah tidak ada selera makan. sehingga menjadi masalah kepada saya apabila mahu suruh anak berhenti makan. Risaulah bila anak perempuan berusia 8 tahun sudah 47kg beratnya.

Baiklah, kali ini saya mahu bagi resipi masakan pindang versi ibu mertuaku. Banyak sebenarnya resipi ibu mertuaku ini, tapi dek kerana saya pun bukan selalu temankan dia di dapur dan tidak cekap mengambil foto, maka terlepaslah banyak resipi. tapi Insyaa Allah saya cuba untuk ambil resipinya. Pindang ini dimasak kerana masa temankan ibu mertuaku ke pasar, dia tidak berapa berkenan dengan ikan-ikan. Katanya tidak segar macam di kampung. Lalu ikan selar kuning kecil sahaja yang menarik hatinya. Itulah yang membawa kepada masakan pindang ini.

Bahan-bahan:

bahan-bahan ini dikisar halus
4-6 biji cili padi hijau/merah
8 biji lada merah dibuang bijinya
2 biji bawang besar
4 ulas bawang merah

ikan selar kuning 8 ekor
2 batang serai dititik
3-4 keping asam keping
seikat daun kesum - ambil daunnya sahaja
air 4 gelas
garam

Masukkan bahan yang dikisar bersama air. Masukkan ikan dan rebus sehingga masak bahan dikisar itu. Masukkan serai dan asam keping. Masukkan garam dan sebelum angkat masukkan daun kesum.

Hidangkan bersama ikan goreng kunyit. Kalau ada ulam dan sambal lagi sedap.


Friday, October 18, 2013

UDANG LEMAK KETUMBAR


Resipi ini saya kira sangat mudah dan ringkas. Masa saya nak menyediakan lauk udang ini, sebenarnya saya sudahpun menyediakan lauk yang lain. Dek kerana tak mahu jadi klise dengan gulai lemak cili padi atau kari udang lalu saya hasilkan resipi ini. Waktu menjamu rakan-rakan ke rumah, mereka menggemarinya.

Bahan-bahannya:

1 kilo udang sederhana (udang kertas dibuang kepalanya)
4 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 sudu makan serbuk kunyit
1 ikat daun ketumbar (dalam RM1)
2 biji lada merah
1 kilo santan pekat

Cara membuatnya:

Bawang dan kunyit ditumbuk halus. Daun ketumbar dipotong kecil. Semua bahan itu direbus bersama segelas air. Bila mendidih dan nampak bergaul semuanya, masukkan santan pekat dan kacau hingga mendidih. Masukkan serbuk kunyit untuk tambahkan rasa dan warna. Masukkan udang dan biarkan seketika. Bila udang dah masak, masukkan lada merah dan hirisan daun ketumbar. Tutup api.

Siap untuk hidangan.

Wednesday, October 16, 2013

MAKAN BARAT DI MIZI'S PENANG

my princess with her lasagna. 
Dari bulan Ogos lagi anak sulungku berhajat nak makan di Mizi's. Ini semua gara-gara Tok Maminya yang bercerita tentang kesedapan mushroom soup dan steak di restoran Mizi's. Anakku yang memang hantu masakan barat apatah lagi menunya daging maka berulang kalilah dia mengajak kami ke Mizi's.

Lupa pula nama steak pilihan abang.
Rasanya London steak with chicken
Masalahnya Mizi's tu tak pernah ada dalam kepalaku. Tak ada idea bagaimana dan rupa restoran itu. Tiba-tiba sahaja Tok Mami buka cerita. Lalu anak sulungku dengan gigihnya melayari internet dan membuat carian Mizi's di pulau Pinang. Nyatanya Mizi's ada tiga cawangan iaitu di Prangin mall, Tesco Tanjung Tokong dan satu lagi di Burma Road.
ini my choice - Caesar salad. The gravy memang superb.
Kami sampai di kampung pada jam 11 malam hari sabtu. Petang ahad, anak sulungku dah bersiap mahu ajak keluar cari Mizi's. Eloklah juga sebab cuti kali ini tidak banyak agenda. Apatah lagi sudah lama saya tidak ke Tanjung. Lalu kami keluar selepas zohor menuju jambatan Pulau Pinang. Masa keluar di simpang rumah Taman Bahagia, isteriku bagi idea untuk ajak Tok Mami sekali. Good idea! sebabnya kami pun sudah kurang arif dengan jalan-jalan di Tanjung apatah lagi hala nak menuju ke Tesco Tanjung Tokong itu.

Ini sirloin yang isteri saya pilih. Dia request medium.
Dagingnya sangat lembut dan sos mushroomnya
memang menjilat pinggan
Masuk je Mizi's, saya tertarik dengan decoration nya yang ala-ala restoran di USA. Satu foto pun saya tak ambil. Sorry ya. Tapi Mizi's terletak di aras bawah Tesco Tg.Tokong. Bila buka menu, mata dah mencari-cari makanan dan mulut dah basah. Yang bagusnya Mizi's buat satu kaedah menempah makanan yang memudahkan kami. Kami ambil set RM25 dengan soup of the day (which mushroom soup was so lovely dengan rasa tekstur cendawan dan lemak berkrimnya), satu main course yang tersenarai, minuman dan dessert berupa ice cream yang boleh dimakan seberapa scoop yang mau. Best tak bunyinya.

Spaghetti pilihan Ma & Pa. Banyakkan?

Kami pergi bertujuh tapi kami order lima set sahaja sebab hidangannya besar dan banyaaaakkkk. Saya pesan caesar salad yang awesome!

Selamat Hari Raya Aidiladha.

Friday, October 11, 2013

MERPATI SUMBAT DI KAHERAH


Biasalah saya, kalau berjalan ke tempat orang saya memang suka merasa makanan tempatan. Ia bagi rasa adventurous. Saya akan jadi teruja dan rasa ralat bila tak menjamahnya. Tapi syaratnya mestilah halal dan tidak mendatangkan was-was. Selain halal saya juga sangat cerewet soal kebersihan. Jadi catatan saya ini sebenarnya kisah perjalanan saya ke Kaherah, Mesir pada Oktober 2012. Aidiladha bakal menjelang tandanya genaplah setahun, kerana waktu saya pulang ke tanahair dulu, dua hari sebelum raya haji. Rasa ralat juga tidak menyambut Aidiladha di sana, kerana cara sambutannya berbeza dan cukup meriah acara korbannya. Tak ada rezeki.

Bila di Kaherah, perasaan jadi berbeza. Kota metropolitan itu sangat sesak dan berdebu. Dalam hati saya penuh kekhuatiran bila berdepan soal kebersihan. Sepanjang jalan sam ada di kaki lima atau di tangga rumah, debu yang merata dan kering. Ia kesan daripada padang pasir apatah lagi udaranya sangat kering. Jadi dalam hal saya yang memang suka makan-makan terpaksalah saya berhati-hati. Untuk entry kali ini saya nak cerita kisah makanan yang popular di Cairo, saya panggil Merpati Sumbat tapi nama sebenarnya Hamam Mahshi. Yang dalam gambar benda berkepak tu. Itulah hamam mahshi.  Sebelahnya ialah kofta. Kat Malaysia pun ada, sekarang kan popular masakan Arab. Ia daging cincang yang digaul dengan rempah dan daun herba kemudiannya dipanggang.

yang dalam gelas itu, bukan minuman tetapi sup. Rasanya macam stok rebusan
daging dicampur dengan rempah. Sedap juga. Saya boleh tambah.
Sepanjang 10 hari saya di sana, saya ambil satu hari penuh berjalan sekitar Cairo khususnya berhampiran pasar Khan Khalili dan Westubalad. Ini memang kawasan syurga beli belah. Kalau mahu jubah yang harga beratus di Malaysia, di sana boleh dapat puluhan ringgit sahaja. Sekitar pasar Khan Khalili itu ada banyak restoran khususnya yang menghadap masjid Sayyidina Hussin. Harga makanan di situ sangat mahal kerana ia tumpuan pelancong. Jadi saya dibawa oleh salah seorang penjual jubah ke sebuah restoran yang popular tetapi harus melalui lorong kecil. Risau juga takut diapa-apakan, al maklumlah bersama saya ada dua gadis jelita (bila saya kata jelita... mereka memang jelita kalau tidak masakan penjual sanggup membantu menunjukkan kedai makan ini). 
Ini restoran depan masjid sayyidna Hussin.
jangan makan di sini - MAHAL!
Setibanya di restoran itu, kami tidak tahu nak pesan apa. Penjual jubah sudah berlalu. Lalu mata saya meninjau meja sebelah. ternampaklah saya merpati tergolek atas pinggan. Saya pun tunjuk saja mahu merpati itu. Dua gadis teman saya, Hana dan Mira, takut nak makan merpati itu, nampak macam bukan burung, dengan bentuk seketul keras. Maaflah saya perlu menerangkannya, tiada gambar satu-persatu yang boleh saya ceritakan. Tapi isi merpati sangat lembut. Di dalamnya disumbat nasi yang telah dimasak terlebih dahulu bersama rempah arab. Memang rasa nasi didalamnya tidaklah seperti nasi mandy atau madghut, tapi bagi saya ia boleh dimakan. Daging merpati sedap diratah dan disulam dengan salad dan acarnya. Kofta yang kami pesan datang bersama acar dan roti yang dipanggil aisy. Kenapa aisy? Kerana roti itu simbol kehidupan. Aish maksudnya hidup. Teksturnya tidak lembut, sedikit liat dan berpasir. Tapi enak sekali bila kita sumbatkan daging kofta dan acar dengan sedikit sos putih kedalamnya. Memang lazat. Saya ulang dua kali datang ke kedai ini.
Eh ni ada satu foto dalam badan merpati tu.
hasil bedah siasat, lihatlah isi kandungannya.
Di sekitar Khan Khalili ramai sekali menjual roti ini. Mereka kelihatan miskin dan menjunjung roti bertingkat-tingkat. Saya cuba merakam foto tapi dimarahi. Roti itu dijual hanya berapa sen sahaja. Penjualnya dari wanita tua sehinggalah budak lelaki belasan tahun, tersentuh hati saya melihat susahnya mereka mahu menghabiskan bersusun-susun roti aisy. Yang pada pandangan saya kalau habis kesemuanya, hasilnya tidak sampai RM15.

Kalau ada peluang datang ke Kaherah, banyakkan minum air, sifat tegas sangat penting kerana orang mereka suka ambil peluang tapi mereka peramah dan mesra. Wanita jangan berjalan seorang elok ramai kerana selalu ada kes. Bahasa jadi masalah kerana bahasa Arab sahaja yang dituturkan jadi elok cari kenalan yang tahu berbahasa Arab, hubungi pelajar Malaysia al Azhar. Sini kenderaan penuh, jalan jem jadi merancang masa sangat penting. 

Inilah dua gadis itu; Hana dan Myra - Cantik ke tidak?
Kamu berdua memang lucu, gila-gila dan sporting!
Ada kisah lucu sepanjang hari itu tapi kami
betul-betul enjoy berjalan. Yang penting
mereka sangat popular di khan khalili.

Tuesday, October 1, 2013

GULAI TELUR ITIK MANGGA PUTIK


Macam mana ada kecur liur tak bila baca tajuk entri kali ini? Saya yang sedang menulis pun boleh berair mulut. Kesedapan masakan ini bukanlah kerana saya memasaknya tetapi menu ini memang bangkit selera. Siapa pun yang memasaknya. Bunyi macam mudah... alah gulai telur itik aja, tapi adik kakak semua, caranya perlu teliti, ada langkahnya supaya telur tidak berserak dan kuah tetap lemak pekat berkrim... voila!

Ada orang tanya kenapa telur itik? telur ayam tak bolehkah? Saya rasa tekstur telur itik sikit berbeza. Isinya sedikit kenyal berbanding telur ayam dan kandungan telur putihnya seakan melingkar kuat telur kuningnya.

Ada orang masaknya dengan belimbing buluh, pun sedap tapi saya lebih suka mangga putik. Rasa masam dan kesan rangup kulit mangga memang membangkit selera. Apatah lagi masakan ini diregukan dengan ikan goreng dan ikan masin. Maaflah ya, saya cuma mencadangkan sahaja regunya. Ada setengah tempat kalau masak lemak, tidak dimasukkan bawang tapi saya ikut cara kelantan, lalu masuklah bawang. OKlah ambik sahaja resipinya.

Resipinya:

10 biji telur itik (bersihkan betul-betul ya)
3 biji mangga putik ( dihiris isi bersama kulitnya. Maka bersihkan betul-betul kulitnya).
2 biji kelapa (santan pekat)

Bahan ini perlu ditumbuk:
4 ulas bawang merah
3 inci kunyit
2 inci halia
2 inci lengkuas
10 biji cilipadi hijau
serbuk kunyit (jika perlu)

2 biji lada merah

cara-caranya:

Masukkan bahan yang ditumbuk bersama-sama dua cawan air. Rebus sehingga masak. Masukkan satu atau dua hirisan mangga dan biarkan ia lebur. Kemudian masukkan secawan santan. Biar mendidih. Masukkan telur itik satu persatu (untuk elak berterabur isinya pastikan santan cair mendidih panas, pecahkan telur ke dalam piring kemudian letak perlahan ke dalam kuah. Masa masukkan telur, pastikan ia tidak bertindih. Selangkan masa antara satu telur lebih kurang 20-30 saat).

Bila sudah masukkan kesemua telur itu, biar seketika. Ingat jangan kacau sepanjang telur dimasukkan. Biar santan itu mendidih seketika. Lebih kurang dua minit baru masukkan santan pekat kesemuanya. Masukkan isi mangga kesemuanya, cili merah. Biarkan mendidih seketika. Jangan lama dan elakkan santan pecah.

Selamat mencuba.

Monday, September 30, 2013

ARTWORKS CUBA-CUBA



Rasa teruja tengok blog kawan saya Lady Windsor. Dia sedang giat menghasilkan produk krafnya. Kali ini dia menumpukan pada kerja-kerja melukis. Merealisasikan foto ke kanvas. Baguskan ideanya. Lawatlah blognya. Bolehlah tengok foto-foto lukisannya.


Tapi entri saya ini, saya mahu paparkan beberapa foto lukisan yang merupakan segmen dari lukisan besar. Betul kata guru saya, Suzlee Ibrahim bahawa kalau lukisan abstrak yang besar, cuba tinjau sudut-sudut kecil yang menarik komposisinya.



Bila saya snap, rupanya memang menarik juga (bangga dirilah pulak) komposisi warna dan ruang dalam lukisan ini. Ya lah adakala kita tak hargai apa yang sudah ada depan mata. Bila tengok yang orang lain, hati suka saja. 

Friday, September 13, 2013

CARI MAKAN DI SAN MIGUEL MERCHADO


Masih mahu tahu kisah di Madrid, Spanyol? Sebenarnya banyak lagi foto menarik yang tidak sempat saya kongsi. Waktu tidak mengizinkan untuk muat naik entry. Kalau masukkan foto saja, kurang 'best' entry jadinya. Jadi kali ini saya mahu cerita pasal sebuah pasar di madrid. Pasar ini dikira yang tertua dan masih mengekalkan bentuk asalnya. Ia diubah-suai dan ditukarkan konsep jualannya dari sebuah pasar basah menjadi sebuah pasar tumpuan pelancong. Ia menghidangkan pelbagai makanan, buah dan cenderamata. Dikatakan pasar ini dibina pada tahun 1916 (sudah hampir 100 tahun). Pasar ini dibuka setiap hari dari jam 10 pagi - 12 malam kecuali hari Sabtu, Khamis dan Jumaat yang ditutup pada jam 2.00 petang.


Kalau dilihat kepada struktur, tiang-tiangnya masih besi lama. Waktu memasuki pasar ini, walau penuh sesak dengan orang ramai tapi kita tidak rimas dan sesak nafas. Pengudaraannya sangat baik walaupun ketika itu musim panas.


Betapa segar dan montelnya buah tomato ini. Kalau saya menetap di sini, confirm yang segar-segar sahaja jadi hidangan. Di bawah ini adalah gambar gerai yang menjual makanan berasaskan makanan laut. Dihidang dengan atas sekeping roti, sedikit sayur dan minyak zaitun. Ia disebut tapas. Sekeping tapas berharga 1 euro. Memang syoklah saya membaham.


 Foto-foto di bawah ini pula adalah antara makan-makanan yang dijual. Buah zaitun yang dijeruk dijuah bersama dengan daging atau sayuran. Saya tak membelinya kerana was-was dan terlihat daging khinzir dalam gulungan olive. Manisan yang popular turut dijual, kita boleh lihat baklawa yang memang buat mulut saya basah. Foto ketiga adalah churos. Siap ditulis di kaunter yang ia halah dan tidak mengandungi 'lard'. Baguslah mereka peka dengan muslim. Bila makan churos dan cecah kuah coklat yang pekat... ohh awesome!

 Dalam pasar San Miguel juga terdapat sebuah kedai yang menjual berbagai cenderamata. Menarik tapi sedikit mahal jika dibandingkan dengan harga di kedai-kedai di luar sana. Tapi cara mereka menyusun dan mempamerkannya memang menarik dan bersih. Foto kedua masih juga makanan berasaskan buah zaiton. Tak halal lah beb! Yang merah menyala dan membangkit gelora jiwa itu ialah buah cherry. Memang datang ke sebelah sini kalau tak menikmati cherry sangat rugi. Aduhai sedapnya, manisnya, segarnya! Kecur liur saya waktu menulis.. teringat!


Di bawah ini gerai menjual pastry dan manisan. Oleh kerana semasa saya di sana ada perarakan LGBT jadi kedai-kedai di sana pun turut meraikan perayaan itu. Yang warna pelangi itulah tart LGBT!


Foto-foto di bawah adalah beberapa makanan yang saya makan. Yang paling tak sedap ialah 'squid paella' yang dimasak berasaskan sotong dan bawang putih sahaja (rasanya begitu). Alahai bunyi macam grand tapi tak sedap langsung... memang tak sedap. foto (1) tapas seafood. Saya beli tapas salmon, octopus dan abalone. 3 euro sahaja. Best. Dan foto (2) hidangan tapas bersama dua jenis keju. Sangat popular blue cheese, jadi saya pun mahu mencubanya, bila masuk saja ke mulut ya Allah, rasa masam, masin dan berkulat. Belacan lagi best!

  

Bila lihat cara orang membangunkan negara mereka, saya rasa irihati. Mereka buat cukup terperinci dan kreatif. 

Tuesday, September 10, 2013

PINGGAN LAMA : KOLEKSI RUMAH TOK NGAH


Saya tidak arif, kenapa ditulis 'occupied' adakah
bermaksud penjajahan?
Kali ini saya dapat koleksi pinggan lama sewaktu pulang ke kampung. Bukanlah tujuan untuk mencari tetapi masa berbual dengan makcik Yam kawan sepermainan arwah mak, saya menyebut bahawa saya suka simpan barang lama. Dari situlah membawa kepada kutipan yang saya anggap sangat bernilai. Nilai ini saya letak kerana 'sentimental value' yang hidup dalam kehidupan saya sejak kecil.

Koleksi pinggan lama adalah simpanan sejak zaman sebelum perang. Kebanyakan keluaran China dan Jepun. Ada juga lambang jenama yang saya tidak tahu asal-usulnya. Arwah ayah kepada makcik Yam adalah antara orang terawal yang membuka kawasan tempat kami tinggal. Mereka tiga beradik membuka kawasan itu termasuklah datuk saya. jadi Makcik Yam dengan arwah Mak adalah sepupu. Bila saya diajak masuk ke bilik simpanan barang lamanya, saya macam terkedu dan rasa nak menangis, ingat terimbau pada arwah Che Tok Ngah yang saya sempat kenal semasa dia sudah pun sakit terlantar.

Gigih saya membelek satu persatu pinggan yang ada yang sudah bersalut dengan sarang semut dan debu tanah. Fikiran saya hanya satu, barang ini kalau tidak diambil dan disimpan ia akan dibuang atau rosak begitu saja. Saya ambil atas niat mahu menyiampan dan Makcik yam berikan pada saya kerana merasakan barang itu sudah tidak diguna dan menambahkan beban.


 Ini bunga mawar tiga kuntum. Sejak saya membelek blog PML, memang jarang nampak bunga begini.


 Bunga mawar hitam sekuntum antara koleksi popular. Banyak kedapatan di kalangan collectors.


 Ini pun bunga mawar juga rasanya tapi yang warna oren itu tidak pasti. Yang menarik adalah logo syarikat pengeluar. Adakah ia dari Jepun atau China atau Eropah?


 Bunga ini menarik. Ros leher panjang saya panggil sebab tangkainya panjang.




Yang ini popular disebut bunga sakura.



 Yang ini saya tidak pasti namanya. Tapi saya suka sebab ia kelihatan seperti lakaran dan tidak 'real'.


 Yang ini ramai menyebutnya sebagai bunga kobis. Bunganya besra dan penuh pinggan. Sayang cuma ada satu sahaja.


Mawar berdua ini seperti bunga kemboja cina.


 Bunga mawar daun tua ini jarang juga saya lihat.


Yang ini memang sangat jarang dilihat di blog. Bunganya jingga dan kecil-kecil tetapi rosnya bersusun elok.


Yang ini mawar tiga warna, Selalu juga nampak di blog.


Kekwa merah jambu, koleksi popular.


Ada juga beberapa biji pinggan tidak bercorak, tebal dan putih sahaja warnanya. Di belakangnya ada logo seperti keluaran Jepun.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...