Tuesday, October 1, 2013

GULAI TELUR ITIK MANGGA PUTIK


Macam mana ada kecur liur tak bila baca tajuk entri kali ini? Saya yang sedang menulis pun boleh berair mulut. Kesedapan masakan ini bukanlah kerana saya memasaknya tetapi menu ini memang bangkit selera. Siapa pun yang memasaknya. Bunyi macam mudah... alah gulai telur itik aja, tapi adik kakak semua, caranya perlu teliti, ada langkahnya supaya telur tidak berserak dan kuah tetap lemak pekat berkrim... voila!

Ada orang tanya kenapa telur itik? telur ayam tak bolehkah? Saya rasa tekstur telur itik sikit berbeza. Isinya sedikit kenyal berbanding telur ayam dan kandungan telur putihnya seakan melingkar kuat telur kuningnya.

Ada orang masaknya dengan belimbing buluh, pun sedap tapi saya lebih suka mangga putik. Rasa masam dan kesan rangup kulit mangga memang membangkit selera. Apatah lagi masakan ini diregukan dengan ikan goreng dan ikan masin. Maaflah ya, saya cuma mencadangkan sahaja regunya. Ada setengah tempat kalau masak lemak, tidak dimasukkan bawang tapi saya ikut cara kelantan, lalu masuklah bawang. OKlah ambik sahaja resipinya.

Resipinya:

10 biji telur itik (bersihkan betul-betul ya)
3 biji mangga putik ( dihiris isi bersama kulitnya. Maka bersihkan betul-betul kulitnya).
2 biji kelapa (santan pekat)

Bahan ini perlu ditumbuk:
4 ulas bawang merah
3 inci kunyit
2 inci halia
2 inci lengkuas
10 biji cilipadi hijau
serbuk kunyit (jika perlu)

2 biji lada merah

cara-caranya:

Masukkan bahan yang ditumbuk bersama-sama dua cawan air. Rebus sehingga masak. Masukkan satu atau dua hirisan mangga dan biarkan ia lebur. Kemudian masukkan secawan santan. Biar mendidih. Masukkan telur itik satu persatu (untuk elak berterabur isinya pastikan santan cair mendidih panas, pecahkan telur ke dalam piring kemudian letak perlahan ke dalam kuah. Masa masukkan telur, pastikan ia tidak bertindih. Selangkan masa antara satu telur lebih kurang 20-30 saat).

Bila sudah masukkan kesemua telur itu, biar seketika. Ingat jangan kacau sepanjang telur dimasukkan. Biar santan itu mendidih seketika. Lebih kurang dua minit baru masukkan santan pekat kesemuanya. Masukkan isi mangga kesemuanya, cili merah. Biarkan mendidih seketika. Jangan lama dan elakkan santan pecah.

Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...