Monday, November 18, 2013

PENGAT PISANG GELAP-GLEMAK


Bukan susah buat benda ni. Saya kalau datang mood yang baik, memang inilah manisan yang selalu saya masak. Bukan apa, saya cukup suka dengan tekstur kuahnya yang lembut dan berkrim. Tambah kalau dapat pisang yang elok. Saya rasa anda pun pernah masak benda ni. Bukan masakan pelik dan ciptaan baru pun. Tapi elok juga saya share, mana tahu ada anak-anak muda yang tercari-cari resipinya. Tapi kena ingat, ini resipi versi saya yang tak berapa nak hebat ni huhuhu.

Nak dijadikan cerita, hari tu waktu menjamu kawan-kawan makan nasi saya sediakan manisan ini, risau juga takut mereka tak gemar. Maklumlah kalau dilihat pada warnanya, ia memang tidak membangkit. Gelap dan suram sahaja. Saya pun hanya masak sesikat sahaja jadi dapatlah saya bagi dua-tiga potong untuk mereka rasa. Tapi rupanya mereka suka malah bertambah pula ceduknya. Ada sampai licin mangkuk dikokotnya.

Nah ambil resipi ni:

1 sikat pisang abu (lebih kurang 14-16 biji) dipotong kecil kemudian rendam dalam air kapur. Tujuan saya rendam dalam air kapur ini supaya bila kita rebus nanti, isinya tidak lebu. Carilah pisang yang baru masak, jangan sudah masak dan lembik. Tak sedap nanti. Eloknya yang separuh kuning hijau.

Pisang yang telah ditoskan direbus dengan sedikit air, jangan banyak sangat airnya. Rebus sehingga masak. Masa masak tu masukkan sekali daun pandan dan dua tiga bunga cengkih.

Masukkan gula melaka (orang Kelantan sebut Nisan keret) dalam enam keping. Saya tak suka masukkan gula pasir. Manisnya tak lemak. Kalau ada gula nipah, masukkan sesudu. Bila dah larut atau separuh larut gula melaka itu.

Masukkan santan pekat. Saya suka pekat maka saya masukkan dua biji kelapa. Memang pekat dan lemak berkrim. Masukkan sedikit sagu dalam 2 sudu. jangan banyak nanti terlebih sagu dari santan. Biarkan ia mendidih seketika. Tak payah lama sangat nanti pecah minyak jadi tak sedap. Masukkan secubit garam untuk bangkitkan lemaknya.

Dah siap untuk hidang. Makan dengan pulut atau roti pun sedap.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...