Saturday, July 27, 2013

PINGGAN MANGKUK LAMA DI CAMDEN TOWN

satu set,3 items ni dijual dengan
harga 18 pound.
Katanya set ini tahun 1945
Saya suka berjalan ke Camden Town sebab pekan ini sangat hidup. Tenaga yang mengalir di sepanjang jalan pekan ini memberi saya banyak pengalaman. Kalau yang suka street fashion di sinilah tempatnya. Masa datang dulu pada hari minggu, jadi ramai sekali muda-mudi dengan imej punk, gothic, tatoo dan macam-macamlah. Kali ini datang masa Ramadhan jadi kepala tidaklah memikirkan soal makan. Nak mengelak dari fikir makanan maka jalan-jalan cuci mata lah paling elok.


Camden menawarkan banyak sekali pilihan, bermacam-macam barangan boleh di cari di sini. Dari barangan sukan, jenama, fesyen, kasut sehinggalah barang-barang vintage dan second hand. Sepanjang jalan kita boleh lihat bagaimana kedai-kedai mempamerkan barangan mereka, boleh kelabu mata lah. Makanan pun kita boleh jumpa macam-macam flavour dari italian hinggalah indian, japanese dan asia tenggara. Malah barangan cenderamata juga murah, kalau datang London nak cari souvenir, beli kat sini, keychain dan cenderamata dijual kurang dari 1pound.


Saya suka masuk bahagian tertentu antara pasar-pasar di Camden khususnya yang jual barang-barang lama seperti buku terpakai dan pinggan mangkuk lama. Salah satu kedai yang saya singgah adalah kedai ini, yang fokusnya menjual pinggan mangkuk lama. Memang boleh jatuh hati dan kalau tak kerana takut excess bagage memang nak belik dua tiga jenis. Tapi sebab berjalan sorang-sorang maka lupakan saja niat tu. Saya cuma beli dua set saja...hahaha nak juga! Mana mungkin tak beli, sudah sampai di sana, bila tengok fikir macam rugi tak beli, alang-alang dah sampai baik miliki satu dua kenangan. Dok gitu?

syok masuk kedai ini
Saya juga sempat singgah kedai buku terpakai, love the place, boleh habis berjam-jam kalau ikut hati tapi sejam pun kira ok. Saya ada beli satu dua buku untuk penulisan saya. Buku-buku di sini banyak sekali yang bagus, harganya pun sekitar 2 ke 3 pound. Sangat berbaloi.

Jadi, kalau ke London jangan lupa ke Camden, Imej Amy Winehouse merata-rata di sini.

Thursday, July 25, 2013

BUKA PUASA ADIK BERADIK

Tak boleh hidang di meja, kami ramai.
kenalah bentang tikar bersila ramai-ramai.
Mana yang susah bernafas tu, sila exercise lepas ni.
Setiap kali Ramadhan datang, inilah saat yang selalu saya nantikan. Berkumpul adik-beradik yang tinggal di KL dan berbuka bersama-sama. Seronok bukan kepalang. Inilah caranya untuk kita mengubat rindu pada kampung halaman dan kenangan semasa kami serumah dengan Wan dan Mek.  Kini, setelah kedua-dua Wan dan Mek tiada, kami tetap meneruskan tradisi, berbuka atau selalu sahaja buat makan-makan adik-beradik. Saya rasa aktiviti ini kena selalu buat, pertama untuk bangkitkan memori tetapi yang lebih penting adalah mengukuhkan silaturrahim kami adik-beradik, ipar-duai dan anak-anak dengan sepupunya. Ini juga supaya mereka merasai semangat kekeluargaan.
bila semua bersila melingkung hidangan, semangat tu datang tiba-tiba. 
Lauk utama asam pedas ikan parang, gulai lemak pucuk paku, ikan & 
ayam bakar, ayam goreng. Cukuplah lah tu. Yang lain sokongan saja.
Dan setiap kali itu jugalah, biasanya rumah saya menjadi destinasi berkumpul. Alhamdulillah kerana ruang yang lebih luas dan selesa untuk ramai orang. lagi pun kedudukan rumah saya berada di anatra perjalanan adik-beradik yang lain. Saya memang seronok buat makan-makan macam ini. Suka masak dan menjamu orang datang, itu salah satu keseronokan saya.

masak lemak pucuk paku, ikan terubuk masin goreng limau,
sambal putik pauh dan air asam ikan bakar



Kali ini, kami tidak masak makanan yang biasa kami makan pada bulan Ramadhan. Jika tidak, tentunya kami masak nasi kerabu dan nasi ulam serta lauk-pauk yang selalu arwah Mek hidangkan. Tapi kali ini, memandangkan abang saya Dr.Ghaz kata nak makan ikan bakar, lalu saya perlulah sediakan menu yang sesuai digandingkan. Nantikan tak berpalut pulak. Untuk menambahkan seri berbuka kami, dan membawa kenangan semasa kecil, saya keluarkan pinggan mangkuk lama. Nampak gayanya sepanjang Ramadhan ni, memang inilah pinggan mangkuk yang akan kami gunakan di rumah. Bukan apa, saya pun nak juga menumpahkan memori kepada anak-anak. Nanti bila kita tak ada, mereka akan terkenangkan saya bila tengok pinggan mangkuk lama ini.

Inilah lauk bakarnya, 2 ekor siakap
(lupa nak snap masa belum dicobek)
dan seekor ayam
Kalau boleh setiap hujung minggu, nak saja saya ajak adik-beradik berbuka bersama. Tapi memandangkan masing-masing ada kesibukan sendiri jadi dapat sekali pun jadilah. Kalau ada peluang lain, tentu awesome!


Ni aja yang saya makan pun

Wednesday, July 24, 2013

TART PORTUGIS DI PESTEIS de BELEM



Heaven! Itulah perasaan bila menikmati tart portugis atau di Malaysia kita kenal sebagai tart telur di kedai yang mula-mula terciptanya resipinya. Memang jauh beza rasa antara tart di kedai ini dengan tart telur di KFC atau mana-mana bakeri yang menjual tart ini. Sejarahnya, tart ini mula dihasilkan pada tahun 1837 di sebuah kedai berhampiran monastri Belem. Sejak terhasilnya tart ini, sambutan yang hebat diterima sehingga ia ditiru dan dijual oleh kedai-kedai di seluruh Lisbon. Namun apabila saya cuba menikmati tart dari kedai lain ternyata ianya tidak sesedap tart dari kedai Pesteis de Belem.

Memang jadi ageda saya dan Tariq, apabila tiba di Portugal, makanan yang perlu dicari adalah restoran seafood dan tart portugis. Nyatanya perjalanan kami menepati sasaran. Kedai ini terletak di Belem, sebuah kawasan yang tidak jauh dari kota Lisbon. Jaraknya, kalau menaiki bas lebih kurang 10 minit perjalanan sahaja. Belem adalam merupakan pekan kecil yang menempatkan sebuah monastri (tempat belajar agama) dan beberapa bangunan serta tugu yang menjadi tarikan pelancong. Pekan ini tidaklah sesibuk Lisbon, tetapi masa kami pergi adalah musim panas, jadi ramai sekali pelancong barat ke sana. 

Memasuki kedai Pesteis de Belem macam sebuah premis pelancongan. Penuh pelanggan yang beratur dan yang menikmati pastri di meja-meja. Hari itu tidaklah sebegitu ramai berbanding dengan foto-foto yang boleh kita lihat di Google, tetapi ia tetap ramai. Kedai ini sudah menjadi pusat informasi, ada gambar dan sudut sejarah restoran itu. malah di kedai ini, ada polis pelancong bertugas bagi memastikan keselamatan kedai dan pelanggan. Begitu penting sekali kedai ini kepada Portugal. Kami dibenar melawat dan mengambil gambar sekitar restoran tetapi tidak boleh masuk ke ruang tertentu khususnya dapur. Namun kami dibenar merakam para pekerja yang sedang memasak. ia dah jadi macam sudut demostrasi pulak.


Tentu sekali anda mahu tahu bagaimana rasanya. Rupa tart ini tidaklah jauh berbeza, yang membezakannya adalah rasanya. Pastri rangup dan apabila kita menggigitnya dapat kita dengar bunyi 'krup krap' tu. Pastrinya dibakar hingga timbul kesan warna hangus dan garing. Intinya memberi rasa seimbang antara kastard dan telur. Tidak terlalu manis dan cukup sedap bila ditaburkan serbuk kayu manis dan sedikit gula. Apatah lagi dimakan bersama caffe latte...hmmmm heaven ok!. Kalau tart telur di Malaysia, kita akan rasa lebih telurnya. Dan untuk pengetahun semua, memang saya penggemar tart ini pun. Kalau ke KFC memang itu saya pesan.

itulah monastri
Menurut cerita, resipi tart ini dipegang secara rahsia oleh seorang chef yang berusia 76 tahun lebih. Katanya beliau sudah bekerja di kedai itu sejak usia 15 tahun lagi dan diwarisi dari bapa mertuanya. Hanya iga orang sahaja di kedai itu yang memegang rahsia resipi tart ini. Menurut Uncle tu, hanya telur dan susu terpilih sahaja digunakan. Dan ianya hanya diketahui oleh 3 orang tadi.


Jadi kalau berpeluang ke Lisbon, ambillah bas atau tren ke Belem. Berhenti di depan Monastry dan anda akan nampak kedai pesteis de Belem dari jarak 200 meter.

Monday, July 22, 2013

SAMBAL UDANG HENGS


kalau dah habis idea nak masak apa untuk berbuka, ikutlah resipi saya ini. Ianya ringkas dan cepat. Bunyi macam handal aja kan. Tapi memang betul kerana, masakan ini sangat praktikal, menyelerakan dan menaikkan nafsu untuk makan. Tambah-tambah kalau lewat sampai rumah, tak sempat nak masak atau lewat bangun sahur, payah fikirkan lauk yang ringkas untuk dimakan dengan nasi panas. Resipi ini saya namakan Sambal Udang Hengs kerana bersempena dengan sambal udang kering yang dijual dan diprodukkan atas nama Hengs. Ia sedap, pedas tapi tak menganga, sangat sesuai makan dengan bubur atau menjadi bahan penumis. Itulah salah satu cara saya apply untuk masakan ini.

Cara membuatnya:

500gm udang segar dibuang kepala dan kulitnya (tak mahu buang pun takpa)
500gm Kacang buncis muda (suka hati jika tak mahu)

bahan tumis:
2 ulas bawang merah dibelah empat
2 ulas bawang putih
1/2 labu bawang besar
3 helai daun limau purut dihiris nipis
2 sudu makan sambal udang hengs
garam
gula
sebiji limau nipis
1/2 cawan air

Tumiskan semua bawang dan daun limau purut, sampai kekuningan dan naik baunya. Masukkan sambal udang Hengs kacau hingga naik minyak. Masukkan setengah cawan air, biarkan mendidih. masukkan udang, biar seketika jang lama sangat nanti isinya keras. Kemudian masukkan kacang buncis. Kacau dalam seminit biar kacang itu lembut sedikit, jangan lama nanti hilang kerangupan kacang itu. masukkan garam, gula dan perah limau nipis.

Angkat dan hidanglah. makan dengan nasi panas. Memang sedap. Tak payah lauk lain dah.


inilah sambal udang hengs itu.

Sunday, July 21, 2013

MINUM KOPI BERDIRI DI LA MALLORQUINA, MADRID.



Saya kira budaya minum kopi berdiri tidak asing di sebelah Eropah ini. Kalau di London, petang-petang selepas jam lima, kebanyakan pub dan bar dipenuhi orang ramai berdiri dan berborak-borak dengan riuhnya sambil menikmati minuman. Jadi tabiat minum berdiri ini bukanlah disebut tak beradab. kalau kat tempat kita, kedai kopi akan menyediakan tempat duduk dan biasanya pelanggan duduk sambil menikmati makanan. Kata rakan saya, Tariq, memang di sebelah Eropah itu sudah biasa. Jika di Italy kedai kopinya memang menyediakan bar tanpa tempat duduk. Oh fahamlah orang kampung yang seorang ini.

Berapa harga hidangan ini? Hanya 2.30 Euro sahaja.
Jangan tukar nilai, tapi samakan nilainya. 
Saya mahu perkenalkan sebuah kedai kopi dan bakery yang terkenal di Madrid yang diasakan pada tahun 1894 (kalau kat Malaysia sah masuk Heritage). Namanya La Mallorquina yang terletak di Puerta de Sol. Sol adalah nama tempat di mana kiraan 0 km bermula di sini. Kafe ini betul-betul menghadap dataran Sol yang menjadi tempat tumpuan pelancong. Tempat ini berdekatan dengan Plaza Mayor, Calle Preciados dan Plaza Opera. Memasuki kafe ini, mata akan terpaku pada barisan pastry, roti dan manisan yang dijual di kaunter-kaunter. Ia dijual secara timbangan tetapi kita boleh membelinya satu atau dua keping mengikut keperluan perutlah. 


Jadi, sewaktu menjejak kaki masuk ke kafe itu, hajat saya hanyalah mahu membeli air mineral. Al maklumlah musim panas yang mencecah 36 darjah. Panas dan kering hingga membawa tekak meronta mencari seteguk air. Tapi niat saya berubah apabila terlihat kelainan dalam kafe ini. Saya lihat beberapa orang sedang menikmati Caffe Latte (hmmmmm memang saya hantu dengan minuman ini) dan menjamah pastri-pastri yang dihidang di dalam piring kecil. Menariknya, saya lihat orang tua pun menikmati kopi di kafe ini dengan tenang dan asyik sekali. Jadi niat saya terus bertukar lalu memesan Caffe Latte dan sebiji pastry berinti kastard. Perlukah saya ceritakan berapa nikmanya kuih kastard itu? hahaha memang sedap bila berpadu dengan caffe latte. Saya masih ingat, waktu saya memesan Caffe Latte, saya menyebut 'Latte' dan pelayang mengulang pertanyaan dalam bahasa spanisnh nya "##$%% Latte?". Dalam hati saya berkata, salah kah aku sebut atau tiada istilah Latte di Spanyol ini. Tapi bila pelayan bertanya lagi sekali "#@#$ Latte? Latte @#@#?" terus komputer saya menterjemah "Latte". Memang saya salah, saya sepatutnya memesan 'uno caffe latte', nampak bebenor orang kampung datang Madrid. . Ia berbeza ketika di London, bila anda memsan Latte, pelayan dah understood its caffe latte.

pelayan sentiasa menunggu di bar
Jadi, kunjungan saya ke La Mallorquina bukan sekali tetapi berulang kali, saya syok dengan suasana di kafe ini.  Malah saya disindir oleh Tariq kerana ketagih kopi La Mallorquina. Cara pelayan menghidangkan kopi juga menarik, di mana mereka akan meletakkan piring dan gelas/cawan kosong bersama kuih yang dipesan. Bila kopi diproses akan dituang ke gelas itu dan kita tunggu pula susu panas dituangkan. Syoklah. Tambah-tambah lagi dengan deretan kuih dan manisan yang penuh di kaunter. Saya paling suka manisan coklat bersama kacang almond. Aduhai...syoknya. Itu yang saya suka, tapi kedai ini menjual bermacam-macam manisan yang sangat menggiurkan. Bila saya kata banyak maksudnya ia memang banyak. Kekacang, jeli, kek, roti, puding...ishhh banyaklah.


Ini salah satu kaunter, kedai ini ada banyak kaunter,
bukat sebaris tapi bertingkat-tingkat.
Jadi, kalau anda ke Madrid, cuba cari kafe La Mallorquina di Sol. Kalau menginap di hotel, jangan sarapan di hotel, sarapanlah di kedai kopi ini. Ia memang syok. Bagaimana mahu ke sana? Ambil Metro dan turun di stesen Sol. Kedai kopi ini betul-betul menghadap stesen Sol.

Monday, July 1, 2013

NAJIB SETUJU LATIH AMAH

Sususlan daripada kenaikan kos pembantu rumah Indonesia mencecah RM8,000, kerajaan mengambil tindakan proaktif dengan mengusulkan cadangan berikut. Saya kira ini juga usaha positif di dalam usaha tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing.



Kementerian Sumber Manusia bakal melatih 40,000 suri rumah di bawah program 1Malaysia Support for Housewives. Program ini tidak terhad kepada suri rumah sahaja, ia juga digubal khusus untuk ibu-ibu tunggal, OKU wanita dan wanita-wanita yang menjadi punca utama pendapatan keluarga. Semoga program ini dapat membantu meningkatkan pendapatan isi rumah mereka.
432Unlike ·  · 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...