Monday, February 10, 2014

PAKNGAH CAFE: MENU MURAH DAN SEDAP



Kali ini saya nak bercakap mengenai makanan. Bukan sembarangan makanan sebab ianya dihidang di sebuah restoran milik orang ternama, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau kita kenalinya sebagai Pak Ngah. Masa saya upload foto makanan di FB hari tu pun dah ada soalan "Pak Ngah buka cafe?". Soalan seperti ini macam tak percaya orang sebab Pak Ngah sangat ternama dalam sebagai komposer dan penggiat seni budaya. Apatah lagi selama nama Pak Ngah mekar di Malaysia, tiada terkeluar dari mulutnya mahu membuka perniagaan makanan. 

Dalamnya ada macam-macam jenis kacang dan buahan cocktail.
Rasa sodanya buat kita terus segar. Kalau makan
makanan yang pedas, cuba regukan dengan sarbat ini.

Tapi sesiapa yang kenal Pak Ngah mesti tahu siapa Pak Ngah dengan makanan. Beliau kaki makan dan kaki lepak berjam-jam malah bincang projek pun berlaku di kedai makan. Saya yang mengenali Pak Ngah memang tahu selera makannya, kalau sedap makanan itu maka berseleralah permakanannya. Tengok badanlah ya hahaha. Jadi, bila dia kaki makan maka tahulah dia mencari lubuk mana yang ada sediakan makanan yang sedap. Seleranya tinggi dan citarasanya bertaraf lima bintang. Saya kira hal ini mempengaruhi jenis menu dan cara 'presentation' di cafe Pak Ngah. 



Menu ini saya bagi 5 Bintang. Terbaik dan hanya
di Pak Ngah Cafe sahaja.

Ada satu dua menu yang disediakan di Kafenya dibawa khas dari tempat yang pernah dikunjunginya. Malam itu waktu saya singgah di Kafe, Mak Ngah hidangkan saya roti canai. Kata Mak Ngah "che kem kena cuba sebab roti canai ini tak sama dengan mamak'. Memang tepat cadangan Mak Ngah, roti canai yang diberi nama Roti Canai Balqis sangat lembut dan sangat berbeza dengan roti canai kedai mamak. Bila ditanya, Mak Ngah kata, roti ini ditempah dari Sarawak, dimasak secara tradisional, tidak ditebar dan diuli secara tradisional. Nak lebih sedap, roti Balqis ini dihidang bersama sambal, boleh dipilih mahu sambal sardin atau sambal telur. Memang malam itu, lepas mencuba terus saya tapau lapan biji.


Oleh kerana malam itu semacam malam promosi untuk kami sekeluarga, maklumlah Pak Ngah Cafe baru sahaja dibuka tidak sampai dua minggu pun. Jadi Mak Ngah pun suruh kami sekeluarga merasa beberapa lagi menu sampingan yang saya sifatkan menu appetizer yang sangat 'rich' dan lazat. Kami dihidangkan dengan Chicken Wings, Otak-otak dan Keropok lekor. Bunyi macam biasa sahaja ya. Tapi percayalah tiga menu yang saya sebutkan itu bukan biasa, ia sedap dan mahu diulang memakannya. Kepak Ayam bakar bersalut sos yang cukup sedap, kita tidak perlu sos tambahan, kira makan hingga menjilat jari. Keropok lekornya lembur dan 'spongey' manakala Otak-otaknya tebal dan berasa rempahnya, ia tidak terlalu manis dan tidak pedas. Anak-anak boleh jadikan sebagai snek.


Kata orang kalau makanan biar mahal asal sedap. Cukup memenuhi selera. Namun di Pak Ngah Cafe harganya sangat memuaskan. Bukan kedai yang jenis cekik darahlah. Cuba tengok Chicken Chop ni, harganya cuma RM7 sahaja. Mana mahu cari bro? Dah takda dah kat KL harga macam tu punya murah. Memang tidak saya nafikan harga bagi semua makanan dan minumannya murah dan munasabah. Memang Pak Ngah Cafe sangat sesuai untuk keluarga. Ya lah kan, di KL ni semua mahal-mahal belaka jadi ada ibu bapa yang berhajat sekali-sekala mahu bawa anak-anak makan luar. Tapi kalau harga mahal cecah beratus ringgit, pokai juga jadinya. Kalau nak bawa ke McDonalds atau restoran rangkaian mesti kena fikir bajet juga.


Kafe Pak Ngah dibuka dari jam 11 pagi - 1 pagi. Tu dia... memang waktu yang panjang. Jadi eloklah kalau nak mencari makan tengahari, minum petang, makan malam atau supper bolehlah ke Pak Ngah Cafe. Saya memang cukup berkenan dengan restoran yang ada sistem gerai sebab banyak pilihan. Adakala bila kita ke kedai makan, bukan hanya nasi atau mee yang kita cari tapi makanan berupa snek yang boleh dimakan berulang-ulang. Kalau rasa mana mahu cari kedai nak lepak lepas tengok teater atau menonton wayang, inilah kedainya, order saja kepak ayam atau roti canai Balqis. Pasti penuhi selera, kalau tidak pun banyak lagi menu-menu yang disediakan dari masakan thai, melayu, western hinggalah ada hidangan Kacang Pol dan Bruchetta. Menarikkan?

Kat mana Pak Ngah Cafe? Dia bertempat di Setapak Genting Klang dekat Prima Kondo Setapak atau Genting Court.

Kalau nak mudah cuba layari FB rasminya  https://www.facebook.com/pakngahcafe.setapak?fref=ts atau Google saja PakNgah Production akan ada map google.

Friday, January 10, 2014

LEGOLAND DAN SINGAPURA


Seperti dijanjikan, saya bawa keluarga bercuti. Hanya nun jauh ke selatan semenanjung. Tahuh 2012 hampir jejak ke Legoland tapi batal pada hari menuju ke sana. Jadi kami berempat merancang bukan awal pun tapi di saat akhir. Alhamdulillah dapatlah penuhi impian anak-anak. Memang betul kata orang bila kita merancang bercuti, ia bukan sahaja soal masa tapi kewangan juga harus dirancang dengan baik sekali. Waktu kita anggarkan soal penginapan, tiket dan pengangkutan tapi perkara-perkara kecil yang tiba-tiba muncul di kepala juga harus diambil kira. Apatah lagi saya yang jenis suka berbelanja ikut mood.


 Bila Aish dan Rhea dapat masuk Legoland, saya kira langsai hutang walaupun ultimatenya adalah Universal Studios. Tapi bagi saya, kalau dalam negara pun ada kenapa mahu dahulukan yang luar. Baik berhabis duit di negara sendiri dahulu.


Cuba tengok cara Rhea posing, memang tak kalah lah kan? Kiri tu adalah Dinasti Mirza dan kanan adalah pintu masuk menuju roller coaster.


 Bila tengok anak-anak happy, kita pun happy lah juga. Banyaklah permaiann yang mereka mahu cuba termasuklah roller coaster. Dengan saya pun terperangkap sama. Waktu naik roller coaster kali pertama di Sunway Lagoon dan berulang kali di beberapa tempat termasuklah Everland di Korea, saya masih ok. Tapi kali ini perasaan lain sikit, mungkin saya fikirkan soal kesihatan, macam-macam saya fikir tentang jantung saya. Nampak sangat dah tua ya.


Kami sempat masuk Singapura tapi malangnya hari itu hujan jadi tak banyak tempat menarik boleh kami kunjungi. Teksi pun tak mahu ambil penumpang kerana jalan jam. Tempat pertama tentulah ke Masjid Sultan. Pekena dulu nasi beriani katt Zam Zam . Boleh pujilah kedai mamak singapura ni, bersih dan teratur. Kami melawat sekitar Masjid Sultan termasuklah Istana Kampung Gelam yang kini sudah jadi muzium.


Saya pastikan anak-anak baca dan tengok cerita bangsa Melayu Singapura yang jadi minoriti di tanah sendiri. Ada video kisah rumah kampung bertukar jadi rumah flat, bagaimana suasana itu mempengaruhi kehidupan Melayu khususnya golongan tua. Anak muda Singapura hari ini mungkin terbiasa dengan cara flat. Teringat pula filem Kolumpo, kisah Nek Wok lakonan Mak Mah yang hidup di flat tapi fikiran masih pada tanah pinggir lombong. Hari ini pun kalau kita tengok di Malaysia, tanah jadi mahal, orang melayu hanya beli apartment, orang lain yang mampu miliki tanah.


Singgah Singapura untuk satu hari berjalan memang tak cukup sebab Singapura walau kecil banyak tempat tumpuan. Saya teringin nak makan di restoran Hajah Maimunah di Geylang tapi tak sempat. Jadi kami dinner di Cafe Kampung Glam yang makanannya tak sedap langsuuuung! Namun sebelum ambil teksi balik JB, sampat saya bungkus murtabak Victory pengubat kecewa makan di cafe itu.

Saya kira kita perlu belajar beberapa perkara dari Singapura, cara mereka menjaga kota bersih dan klas A. Bangunan lama dikekal dan dijaga. Sikap orang kita kena berubah. Waktu dalam teksi menuju JB, pemandu Singapura sangat bangga dengan negaranya, dia bangga dengan nilai dollarnya dan seolah persendakan orang kita yang mencari makan di tempatnya. Tapi pada masa sama dia akur bahawa ramai singaporean hidup dan menetap di JB kerana kos hidup yang tinggi. Katanya Singapura ada macam-macam, Malaysia tak banyak tempat menarik. Oleh kerana kami dalam kereta dia, saya diam dan 'hmmm' aja nantikan jadi lain pulak walau geram tu macam nak keluar aja perkataan. Waktu saya aju soalan berkaitan sejarah bagaimana Singapura keluar Malaysia, dia tak jelas. Memang patut saya tak perlu berhujah dengan dia, dia berfikir pada aras lebih rendah. 

Thursday, January 9, 2014

BUBUR ASSYURA KELANTAN


Ini bukan calang-calang masakan, ini kira masterpiece juga bagi orang Kelantan. Bila sebut bubur assyura, masing-masing teringat bubur assyura di tempat masing-masing. betullah tu. Memang kita mesra dengan cara setempat. Tak gitu. Kali ini LB nak share resipi bubur assyura kelantan yang popular dengan manis dan berempah. LB tak hairan dan kecil hati kalau member dari negeri lain tak suka dan buat muka pelik bila makan bubur assyura kami. Biasanya bubur assyura kami, kami panggil Sugho.

Biasanya sugho dimasak secara gotong-royong. Masa di kampung dulu, kalau kawasan kami buat sugho maka ramailah orang-orang kampung datang menolong dan siap bawa uah tangan tanda mahu bersam, biasanya mereka bawa sekilo gula. Pernah sekali dalam tahun 1985, masa rumah kami buat sugho, punyalah banyak terkumpul gula yang diberi orang. Cuba bayangkan kalau masing-masing bawa sekilo. Sugho ni bukan kerja remeh, ia ada peringkat-peringkatnya dalam memasak. Itu pasal kami masak secara gotong-royong. Yang mengacau lain, yang menyedia sukatan lain, yang menjaga api lain dan yang menjaga rempah lain pulak. Jadi ia bukanlah kerja seorang diri.

Tapi nak dijadikan cerita LB memang pasang cita-cita nak masak sugho sendiri. Saya rasa macam boleh buat sendiri dalam skala kecil. Sebenarnya sudah lama saya pasang niat ni cuma baru kali ini jadi. Waktu abang saya cuti di kampung saya pesan, rempah sugho untuk sukatan sekilo beras. Jadi tak sempatlah saya masak dalam Awal Muharam. Saya masak sugho pada 1 Jan 2014, hahaha sempena tahun baru masihi hahaha. Sebab itupun masa yang free. Proses buat sugho ini bukian setakat sedia bahan terus masak, boleh tapi lagi lamalah tempoh memasaknya. Jadi seeloknya sehari sebelum memasaknya, kita buat pre-cook dahulu bahan-bahan yang lambat untuk hancur dan empuk. Oklah ini bahan-bahannya:

1 kilo beras (jangan basmathi), elok beras berkanji. Rendam semalaman kemudia blend bagi kecil bijinya.
1 kilo kacang hijau (perlu direbus malam sebelum masak sugho)
1/2 kilo ubi stelo (keledek) - rebus sebelum
4 batang jagung - ambil bijinya saja dan direbus sebelum ( jagung kernel dalam tin pun boleh)
1 tin kacang merah
1 kilo daging liat (direbus empuk dan diceraikan isinya seperti serunding)
2 kilo santan pekat (dimasak dahulu sehingga pecah minyak)
4 tongkol gula merah
2 cawan gula pasir
1 sudu teh garam
Kerisik

Bahan untuk dikisar dan digaul dengan rempah:
20 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
3 inci halia
3 inci lengkuas
4 batang serai
1 sudu makan jintan putih
1 1/2 sudu jintan manis
2 sudu ketumbar
rempah sugho untuk sekilo beras (nak lagi sedap digoreng tanpa minyak)

cara membuatnya:

Didihkan beras sehingga menjadi bubur nasi, masukkan kacang hijau sehingga menjadi bubur, masukkan satu persatu keledek, jagung dan kacang merah. Kacau selalu atas api perlahan. Jangan biarkan berkerak. Tambah air jika adunan kering. Kacau sehingga kesemua bijirin itu kelihatan seperti bubur. Kacau sehingga pekat. Kemudian masukkan bahan yang dikisar bersama dengan rempah sugho. Kacau seketika sehingga bergaul. Masa ini adunan akan berwarna gelap. Masukkan daging. Kacau. Masukkan santan. Biarkan ia benar-benar mendidih agar rempah dan bahan kisar masak. Kacau selalu. Apabila adunan mula mengering, masukkan kerisik, gula dan garam. Kacau sehingga likat dan berkilat.

Sebelum masak, saya bajet sekilo beras dapat dalam satu periuk rupanya hitungan saya salah. Jadi saya terpaksa bahagi dan masak menjadi dua periuk. Sugho kelantan akan mengeras menjadi seperti bingka, tetapi oleh kerana sukatan beras saya sama seperti kacang hijau maka ia tidaklah terlalu keras. Jadi kalau anda mahu tekstur yang padu, kurangkan beras lebihkan kacang. Kalau masak dirumah elok gunakan kuali atau periuk non-stik. Lama tu nak mengacau sorang-sorang. Saya masak dari jam 1 tengahari hingga jam 6 petang baru masak.

Untuk hidangan, sugho sedap dimakan dengan garnishingnya iaitu kelapa tumbuk yang dicampur dengan bawang merah, serai dan halia bersama gula dan garam. Tambah seri hiris telur dadar halus-halus.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...