Monday, November 18, 2013

PENGAT PISANG GELAP-GLEMAK


Bukan susah buat benda ni. Saya kalau datang mood yang baik, memang inilah manisan yang selalu saya masak. Bukan apa, saya cukup suka dengan tekstur kuahnya yang lembut dan berkrim. Tambah kalau dapat pisang yang elok. Saya rasa anda pun pernah masak benda ni. Bukan masakan pelik dan ciptaan baru pun. Tapi elok juga saya share, mana tahu ada anak-anak muda yang tercari-cari resipinya. Tapi kena ingat, ini resipi versi saya yang tak berapa nak hebat ni huhuhu.

Nak dijadikan cerita, hari tu waktu menjamu kawan-kawan makan nasi saya sediakan manisan ini, risau juga takut mereka tak gemar. Maklumlah kalau dilihat pada warnanya, ia memang tidak membangkit. Gelap dan suram sahaja. Saya pun hanya masak sesikat sahaja jadi dapatlah saya bagi dua-tiga potong untuk mereka rasa. Tapi rupanya mereka suka malah bertambah pula ceduknya. Ada sampai licin mangkuk dikokotnya.

Nah ambil resipi ni:

1 sikat pisang abu (lebih kurang 14-16 biji) dipotong kecil kemudian rendam dalam air kapur. Tujuan saya rendam dalam air kapur ini supaya bila kita rebus nanti, isinya tidak lebu. Carilah pisang yang baru masak, jangan sudah masak dan lembik. Tak sedap nanti. Eloknya yang separuh kuning hijau.

Pisang yang telah ditoskan direbus dengan sedikit air, jangan banyak sangat airnya. Rebus sehingga masak. Masa masak tu masukkan sekali daun pandan dan dua tiga bunga cengkih.

Masukkan gula melaka (orang Kelantan sebut Nisan keret) dalam enam keping. Saya tak suka masukkan gula pasir. Manisnya tak lemak. Kalau ada gula nipah, masukkan sesudu. Bila dah larut atau separuh larut gula melaka itu.

Masukkan santan pekat. Saya suka pekat maka saya masukkan dua biji kelapa. Memang pekat dan lemak berkrim. Masukkan sedikit sagu dalam 2 sudu. jangan banyak nanti terlebih sagu dari santan. Biarkan ia mendidih seketika. Tak payah lama sangat nanti pecah minyak jadi tak sedap. Masukkan secubit garam untuk bangkitkan lemaknya.

Dah siap untuk hidang. Makan dengan pulut atau roti pun sedap.



Wednesday, November 13, 2013

RHEA DAN BALLET

memang ketara saiz mereka. Tapi jangan terkejut
kalau Rhea lebih fleksibel.
Kecenderungan anak adalah pelbagai. Ia datang dari pengalaman mereka melihat dan merasa. Ibu bapa yang memesrakan minat itu tumbuh. Mungkin ibu bapa tidaklah berbakat dalam tarian atau nyanyian tapi kalau itu hiburan yang ditonton anak yang kecil akan memupuk minat itu. Saya tidak ajar Rhea menari bahkan saya pun memang kaki kayu. Tapi kami minat menonton rancangan hiburan. Mungkin juga minat Rhea ini bercambah dek program Akademi fantasia. Tapi saya kira program kanak-kanak di channel Nickolodeon, Disney Channel dan beberapa lagi turut mempengaruhi. Rhea suka menonton animasi Barbie dan dia juga suka kartun tikus Angelina Ballerina.

Rhea jenis tak mahu mengalah. Dia tidak
suka bila orang kata dia tidak boleh buat.
She takes the challenge!
tapi bukanlah sebab itu lalu kami menghantar Rhea ke kelas tarian. Semasa usianya cecah 6 tahun beratnya bertambah. badannya bulat sehingga tenggelam lehernya. Dia bongkok. Jadi maminya mendapat nasihat dari guru tarian ballet supaya memasukkan Rhea ke kelas untuk membetulkan postur badannya. Lalu bermulalah Rhea dengan rutin tariannya.

Foto diambil waktu hari Rhea menyambut usia 6 tahun. Kami sekeluarga keluar makan-makan. Lihat sahaja badan Rhea. lehernya pendek dan badannya membulat dan melengkung.


Namun kami tidak mengetahui kebolehannya dengan jelas. Bila masuk kelas baru jelas bahawa Rhea punya potensi dan kebolehan menari semulajadi. Gurunya, Dorris memuji kebolehan itu. Tempoh setahun Rhea dalam kelas, kami lihat perubahan badannya, lehernya memanjang dan badannya menegak, dia sudah memahami cara berjalan dan berdiri dengan betul.

Bersama Miss Dorris, guru lulusan dari UK.
Saya kagumi caranya melatih. Tegas tapi
tidak menengking. Bahasanya teratur.
Hari itu, 9 Nov 2013 kami sekeluarga menghadiri konsert tari sekolah tari Rhea, Meadow Ballet Academy. Rhea masih banyak kelemahannya. Dia kini berada di Gred 3. Kami tidaklah membina harapan untuk dia jadi seorang penari, kami mahu dia tingkat keyakinan, percaya diri dan merasai dunia kanak-kanak seperti fantasi yang ditontonnya di TV. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...