Thursday, June 27, 2013

NASI HARUM WANGI DAN HATI MANIS


Kali ini saya masak nasi. Special sikit sebab ia berwarna kuning. Macamlah special kalau warna kuning tu. Sebenarnya idea asal, saya cuma mahu masak lauk sahaja dan makan dengan nasi putih. kemudia idea saya berubah, saya fikir "why not buat nasi goreng hati ayam" tapi lepas tu muncul idea lain pulak "aku masak hati tapi regunya dengan nasi khusus untuk lauk ini". Maka jadilah resipi ini. Daripada nasi goreng, saya ubah suai menjadi nasi berempah. Bolehlah cuba. Jom tengok resipinya.

Nasi Harum Wangi

Nasi putih dua empat cawan
dua sudu mentega
satu sudu minyak zaitun
1 sudu habatussawda
1/2 sudu halba
1 sudu serbuk kayu manis
1 sudu jintan putih jintan manis
2 kuntum bunga lawang
2 sudu teh serbuk kunyit
2 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
garam
lada putih

tumis kesemua bahan, masukkan nasi dan serbuk kunyit. Kacau hingga lembut nasi dan bergaul emas kekuningan.

Hati Manis
500 gm hati dan pedal ayam
1 labu bawang besar potong
1 inci halia
3 ulas bawang putih
3-5 biji tomato ceri
1 biji lada cameron
4 sudu besar kicap manis
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili
garam
lada hitam
lada putih

Goreng hati dan pedal sehingga masak dan sedikit garing. Angkat dan tumis bawang besar, halia dan bawang putih. Masukkan garam, lada hitam dan lada putih. Terus masukkan kicap manis, sos cili dan sos tiram. Kacau sehingga pecah minyak. Masukkan semula hati dan pedal tadi. Bila dah bergaul dengan sos, akhiri dengan tomato dan cili cameron. kacau seketika jangan sampai layu.




Wednesday, June 26, 2013

DERA ANAK ITU KEKALAHAN

Derita ini kekal selagi parut di situ
Hari ini kita saksi dan baca satu lagi kisah dera di Terengganu. Melihat pada kaki anak ini, ia seperti tiada penghujung deritanya. Menitik airmata saya mengenang siksa anak ini menahan kesakitan. Bagaimana seorang anak kecil yang tiada upaya untuk melawan diperlakukan begini. Jahat sangatkah budak ini? Tentu sekali bukan.

Apa yang difikirkan ibu ini?
Memang dalam hidup kita sebagai ibu bapa, ada masa kita menjadi sangat marah akan tingkah laku anak. Itu hal biasa. Namun kebiasaan itulah yang perlu dikawal. Di situlah letaknya peranan ibu bapa. mengawal kenakalan anak. membetulkan kesilapan mereka. Dalam membetulkannya kita tidak sepatutnya mengambil pendekatan menyakitkan mereka. Saya pasti anda yang membaca mempunyai rasa yang sama seperti saya. Ingin menjadi yang terbaik untuk anak-anak.

Yang mendera sebenarnya gagal memahami
maksud alam kanak-kanak. Adakah mereka
tidak pernah melaluinya?
Petang tadi, saya dikejutkan dengan panggilan helper, katanya anak perempuan saya belum pulang dari sekolah agamanya. berderau darah saya. Katanya lagi budak-budak lain sudah balik. Lagi tambah berderau. Jam sudah masuk pukul 6 petang. Sekolah sepatutnya selesai jam 5.10 petang dan biasanya anak saya sudah sampai di rumah jam 5.30ptg. Aduh rasa nak melompat dari tempat duduk, terbang mencari anak yang tidak pulang. Memang tidak boleh saya payangkan andai itu benar-benar berlaku. Jadi bila kisah budak kena dera, saya jadi marah. marah pada mereka  yang tidak menghargai kurniaan Allah. Allah mengurniakan zuriat untuk kita memahami dan menghayati makna cinta. 

2 tahun adalah usia di mana
anak membuka otak mereka kepada
semua kebijaksanaan. Malang bagi anak ini

Hal cinta ini, dihadirkan sama pada semua manusia. Namun manusia itu yang membezakan rasanya. Akal menjadikan manusia menangani dengan cara yang berbeza. Kesanggupan mereka mendera anak kecil adalah kegilaan. Kegilaan yang hidup dalam diri mereka akibat kegagalan mengimbang emosi. mereka mendahulukan emosi mereka, mereka selfish, mereka merendahkan diri lebih hina dari binatang. Hidup hari ini sangat berbeza. Dunia menekan dan menuntut manusia itu hidup untuknya sahaja. Ramai yang tewas.

kalau nak dera, dera macam ini...
cium sebanyak manapun.

Kasihanlah anak-anak yang baru mahu kenal erti hidup, dan mereka mengenali kecelakaan. Mereka menempuh neraka seawal usia untuk bermain imaginasi. Fantasi dan Imaginasi mereka terbantut. terhenti dengan herdikan, sergahan, pukulan, cucuhan dan bermacam-macam tindakan yang mudaratkan fikiran mereka. Anggapan anak-anak pada kehidupan bertukar saat itu, mereka mula melihat zalim itu adalah sebahagian daripada dunia mereka. Dan bagaimana mereka melihat dunia di hari dewasa? Alangkah malang bila mereka melihat dengan kebencian.

Klik kisah ini untuk catatan berkaitan.

Tuesday, June 25, 2013

AYAM BISKUT JEPUN


Apa nak cakap, cakaplah. Kali ini memang resipi merapu. Saya sebenarnya tercipta resipi ini tanpa terlintas pun nak hasilkannya. Masa saya mahu perap ayam, saya ternampak lebihan biskut beras jepun atas meja dapur. Kesian lah pulak sebab anak dah tak mahu makan. Kalau lama dibiar luput pula tarikhnya. Jadi demi nak selamatkan biskut itu, lalu saya pun cuba-cuba lah masak gunakkan biskut itu. Tapi bila makan sedap pula. Anak saya pun minta dibuat lagi resipi ini. Nampak gaya memang, resipi ini menjadi. Ia boleh mengalahkan KFC hahahha...berangan. Tapi saya jamin, rasa keenakannya bukan buat-buat, ia memang tulen.

Cara membuatnya sangat mudah, ikut sahaja teknik di bawah ini.
1/2  ekor ayam di potong suka hati. Kalau boleh janganlah kecil
lada hitam
lada putih
garam
biskut jepun berperisa (diketuk jadi serbuk). Dalam dua pek kecil sahaja

Biskut beras jepun
Ayam tu digaul dengan semua bahan, diperap dalam setengah jam, lepas tu gorenglah dengan minyak yang penuh. Kalau nak sedap lagi. Goreng ayam seketika, biarkan ia sedikit masak. Angkat dan masukkan dalam microwave. Masak selama 6-7 minit. Cara ini lebih sedap dan rasanya masuk hingga ke tulang hmmm.

Monday, June 24, 2013

SOTONG REBUS - SEBUAH KISAH KLASIK


Ini menu klasik, menu zaman kecil yang banyak menggamit kenangan. Kisah waktu kecil makan nasi berkuah hitam. Ini resipi segera ibu-ibu yang tak mahu fikir panjang tapi sedap. Tambah sedap kalau sotong yang dibeli penuh telurnya. Jadi bila direbus bulat-bulat montel badannya. Kisahnya, saya ke pasar konon nak membeli ikan tapi ternampak anak-anak sotong yang banyak telurnya. Apalagi dalam kepala terus terfikir nak rebus bodoh aja. Air mulut dah terbayang-bayang rasa manis kuah sotong. Jadilah masakan ini, masakan untuk makan tengahari. Saya tak regukan dengan mana-mana lauk, hanya sotong rebus semata-mata. Masa anak saya membuka periuk, dia mencebik, eee...masak apa ni, kenapa kuahnya hitam? macam mana boleh jadi hitam? Tapi bila dah makan, bertambah nasinya. Itulah penangan resipi ibu kita, jangan fikir spagheti je sedap.... ni haa...sotong rebus hitam!

Cara masak:
1 kilo sotong dibersih jangan dibuang dakwat hitamnya dan tulangnya. Buang mulutnya sahaja. Carilah yang bertelur.
Air secukupnya.
Bawang putih lima ulas, banyak pun ok. Ketuk sahaja.
Bawang besar satu labu
2 inci halia, diketuk aja.
Garam
Lada hitam.

Ada setengah orang bubuh serai tapi saya tak mahu. Saja tak mahu.
Campur semua bahan itu, rebus sampai mendidih dan empuk sotongnya. Jangan terlebih masak nanti isi sotong kenyal, tak sedap.

Saya ada kisah bersabit kuah sotong ini. Kami adik beradik kulit memang gelap, takda seorang pun kuning langsat. Biasa kita kambus sotong dengan nasi, supaya dapat sotong lain. Camouflage lah tu. Tapi itu cerita lain. cerita yang nak saya ceritakan ini, satu hari tu, kami empat beradik daripada sembilan orang, melingkung sepinggan sotong rebus, salah seorang abang saya bagi cadangan. Katanya "mari kita lawan kulit siapa paling gelap!". wahhh itu game cadangannya. Syaratnya ialah "curahkan kuah atas jari dan tengok jari siapa yang hitam". Memandangkan semuanya perasan kulit cerah, maka kami pun berlawanlah. Abang saya yang cadangkan tu, gelakkan kami kerana bila kami curah, semua jari kami hitam. Dia dengan konfiden curahlah atas jarinya dengan harapan nampak cerah.... curahlah dia atas jarinya.... dah memang keturunan, sah sah memang hitam jadinya! Kami berempat gelak. Pengajarannya ialah, kalau dah gagak hitam walau dipakai tabitha atau Beautskin sekalipun ia tetap hitam! Muktamad! No kompromi!

Sunday, June 23, 2013

JEREBU BAGI CUTI


Gambar atas saya ambil dari azizulhakim91.blogspot.com. Anak-anak saya gembira bila diumum esok cuti sekolah sebab jerebu. terus mereka berhenti buat 'homewor' kerana esok ada masa lagi. Boleh macam tu? Apa lagi, saya gunalah kuasa superhero saya, jangan main-main.

Masalah jerebu ni bila nak selesai, saban tahun inilah isu yang kita hadapi dengan negara Indonesia. Bila kita salahkan mereka, jawapan yang diberi patah balik kat kita. Katanya pengusaha datangnya dari Malaysia dan Singapura. Habis kelu lidah kita.  Tapi memang patutpun kerajaan isytihar cuti sekolah kerana jerebu hari tebal betul. Dalam rumah pun boleh berkabus. Di luar, cuaca redup tapi bahangnya menyakitkan. Udara tidak bergerak. Pokok tak goyang, kulit gatal dan mata kita jadi berair. Memang bagus langkah kerajaan ni.

Saya bukan apa, budak-budak ni, mana dia kisahkan jerebu. Kalau nak main bola mereka tetap main bola. Anak lelaki saya, bawah matahari terik tengah-tengah jam 3 petang tu, dia boleh main bola dengan senang hati. Habis kulit dah mengalahkan Baloteli dah. Mereka tak hairan dan tak faham bila kita kata jangan main kat luar. Bila dah sakit barulah mereka duduk di rumah.

kat rumah kami dah tutup semua pintu dan tingkap, hanya tingkap kecil saja dibuka. Masa kami biarkan rumah tertutup, memang berkabus dalam rumah. Dahsyat lah jerebu ni.  Susah bila kita cuba beritahu orang yang tak erti nak faham. Syarikat yang buat hal ini, tidak kiralah mereka orang Malaysia atau Indonesia, saya anggap mereka ini, hanya fikir untung dan tidak kisahkan dunia. Orang macam ini, kalau kiamat pun mereka masih tetap nak untung.

Wednesday, June 12, 2013

DAGING MANDARIN


Lazat tak nampak hidangan ini? Saya masak ini lebih kepada improvisasi. Anak bujang saya tak mahu makan nasi manakala anak gadis saya suka makan nasi. Jadinya saya hasilkan satu masakan yang boleh dikecap oleh kedua-duanya. Nyatanya ia berhasil. Masakan ini elok dimakan panas-panas sewaktu sayurnya masih 'crunchy' dan kuahnya belum diserap daging. Selepas terhasil masakan ini, baru saya nampak rupa bentuknya. Ia seakan masakan ala-ala cantonese atau cina. Seperti kuah kuetiau cantonese. Tapi saya buat berbeza sikit kerana sayur dan dagingnya dimasak berasingan. Saya kira menu ini berkhasiat dan sihat kerana menggunakan sayur dan banyak protein. 

Bahan-bahannya:

1/2 kilo daging batang pinang dihiris nipis
1/2 batang lobak merah dipotong memanjang
1/2 batang lobak putih dipotong memanjang
2 batang seladeri dipotong pendek
1 peket kacang pis
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
2 cawan air
1 sudu tepung jagung
1 biji telur
1 inc halia
lada hitam
lada putih
garam

Cara membuatnya:

Daging diperap dengan garam dan lada hitam. Digoreng sehingga empuk, jangan garing. Angkat dan gunakan kuali yang sama, masukkan dua sudut minyak masak dan tumiskan bawang besar, bawang putih dan halia. Bahan perasa boleh dimasukkan ketika menumis. Tumis sehingga lembut kemudian masukkan dua cawan air. Bubuh lobak putih. Didihkan sehingga jernih warnanya. kemudian pecahkan telur, kacau bersama air tepung jagung. Masukkan lobak merah, seladeri dan kacang pis. Kacau seketika, elakkan sayur terlebih masak atau layu.

Untuk hidang, letak daging kemudian curahkan sayur ke atasnya. 

Tuesday, June 11, 2013

PASAR SITI KHADIJAH : MISI 3 JAM


Kalau tak ke Pasar Siti Khadijah rasa macam tak lengkap balik kampung. Hajatnya nak cari periuk tembaga tapi dalam cari punya cari, tak berkenan. Banyak benar tembaga dari Siam. berkilat sangat, macamana nak pakai buat masak kan? Saya cari yang tempatan, buatannya kasar tapi boleh buat lasak. Rata-rata kedai yang jual tembaga tu, kalau periuk bertelinga saiz kurang sebesar periuk nasi letrik harganya dah RM400, yang besar sekali harganya RM700. Mak oiii terduduk sekejap. Mahalnya!!! Boleh beli peti ais satu pintu harganya. Cash!!

Jadi saya simpan dulu niat tu, sampai saya jumpa yang tempatan dan harga yang berpatutan. Terus kami ke agenda kedua, cari sambal daging. Serundinglah maksudnya. Orang kelantan sebut Sambal daging. Jenuh kami berpusing mencari dan ambil rasa serunding yang cecah selera, akhirnya kami berhenti kat gerai hujung. Belilah kami semua jenis serunding. Bulan puasa nanti, kalau tak tahu nak bersahur dengan apa, ratah saja serunding ni. Sambil beli serunding tu, sempatlah sambar dodol 3 jenis pandang, gula melaka dan durian. Dan beberapa jenis kekacang.


Masuk agenda ketiga, kami ke food court, cari makanan yang ringan-ringan. Saya suka makan kat atas pasar ni, suka dengan suasananya. Tidak semua gerai tu sedap dan bersih tapi seronok duduk di kerusi sambil mengadap makanan di meja. Stailnya macam warung di kampung. lebih seronok kalau sebelah kita, orang-orang pasar duduk minum, seronok mendengar topik dan cara mereka berbual. Jadi hari tu, memang niat saya nak makan sup perut. Lalu kami cari gerai. Ini pertama kali saya makan sup di pasar ini, senang saja nak kenal gerai yang sedap, tengok ramai atau tidak customernya. Memang, gerai Kak Ani Sup yang kami singgah ni, orang terpaksa menunggu giliran untuk duduk. Dan rasa supnya memang da-boom. Isteri saya pesan sup perut sahaja, saya terpana dengan maggi lalu timbul idea untuk request sup perut maggi, ternyata ia memang meletop! saya rekomen adik kakak kalau ke pasar cari gerai ini.


Agenda keempat, kami turun ke aras bawah mencari kuih-muih. Memandangkan kami pergi sudah petang jadi banyak kuihnya sudah habis. Dapatlah kami beli Blebab, tepung bungkus dan tapai. Tapi melihatkan jenis-jenis kuih yang dijual memang meriah.


Kita ni kalau berjalan ke tempat orang, nak mengenal cara budaya mereka, cara pergaulan mereka, singgahlah di pasar. Ada banyak bahan dan asas budaya ada di dalamnya. Pasar ini dibuka seawal 7.00 pagi sehingga lewat 6.00 petang. Kalau ke sini, sangat mudah mendapatkan pengangkutan terutama teksi...opps beca.

Monday, June 10, 2013

ENAMEL BANGAU TERBANG


Comelkan dulang ni. Buatan negara China. Saya beli pun
dari gerai barang terpakai. Saya suka kerana burung
bangau tu. Biasanya corak lama lebih tertumpu pada bunga
dan kaligrafi cina tapi yang ini memang berbeza. Catnya tebal
dan berat.

Ini tujuannya nak mengukur saiz dulang ini. Jadi ianya
tidak kecil boleh muat 4 piring. 

Ini pula bekas ayan yang saya beli kedai Uncle Bisu.
kedai Uncle memang banyak barang lama.
Uncle tu dah tua, bercakap guna bahasa isyarat,
dan macam nak let go all old stuff

Dapatlah saya beli beberapa yang saya kira boleh diguna
untuk kerja di dapaur. Tapi buat masa ini belum
dipakai lagi sebab takut lokah catnya.
Hahaha nampak benar kupit.


ROJAK KELANTAN (COLEK MALAH)


Biasa bila balik kampung, saya akan kumpul adik beradik yang kat Pasir Mas untuk makan-makan di rumah Mek. Saja untuk berkumpul, peringat balik waktu arwah Mek dan Wan ada. Kalau berkumpul tu, biasanya kami masak-masak dan makan nasi lah. Anak-anak buah dah berbelas dari 4-5 keluarga. Kat Pasir Mas, saya masih ada 3 beradik yang menetap. Adik beradik dari 10 orang. Yang lain dah tinggal merata-rata; 4 di KL-Selangor, 1 orang di kuala Krai, 1 bujang dan 1 lagi dah meninggal. Jadi bila dapat berkumpul, dapatlah kami temukan anak-anak dengan sepupu mereka dan tentu sekali anak saudara kenallah pak saudaranya.

Tapi pulang saya kali ini, agak kelam kabut juga. Tidak sempat hendak masak yang berat-berat. Lalu keluarlah dalam kepala saya nak buat colek malah. Dulu masa kecil dulu, Mek berniaga colek malah waktu petang dan malam dalam bulan puasa. Masih boleh diingat cara ramuannya. Memang memang cerewet bila memasak, tepung cekodok dan kuah colek malas mesti cukup rasanya, kalau kurang maka otomatik tak sedaplah colek malah ni.
Saya tak tahu macam mana nama colek malah ini muncul, bagi orang kelantan, rojak itu bukan istilah asal. Rojak selalu dirujuk kepada masakan mamak. Colek mungkin terbit dari perbuatan semasa memakan makanan itu di mana, kita mencolek sos. Jadi kalau makan mangga atau jambu dicolek dengan sos kicap, gula dan cilipadi (kicap boleh diganti dengan cuka). Begitu jugalah dengan colek perut, pelepung (paru) ataupun cekodok kangkung ni. Ianya dicolek dengan sos yang dibuat dari kacang dan air asam. Perkataan MALAH maksudnya malas, saya kurang arif, agak-agaknya sebab cara membuat cekodok ni agak ringkas maka malas lah namanya.

Ada  beberapa bahagian yang perlu disediakan untuk membuat rojak kelantan ini, ia boleh dipecahkan kepada tiga iaitu cekodok, kuah dan ulam. Bahan lain dikira tambahan seperti keropok dan tauhu goreng.



Cekodok
5 cawan tepung gandum di campur dengan 2 sudu kecil soda bikarbonat. Bubuh sesudu garam. Masukkan air dan kangkung yang dipotong kecil-kecil(masukkan batangnya sekali). Adunkan sehingga teksturnya boleh diceduk dan terbentuk.

Kuah
1 kilo kacang tanah digoreng tanpa minyak. Buang kulit dan tumbuk (kalau dikisar ia kurang beri kesan 'crunchy'). Asam jawa secawan digaul dalam air dan ambil patinya. 10 tangkai cili kering dikisar halus (buang bijinya), 1-2 biji bawang putih. Garam dan Gula melaka. Semua bahan itu dimasak sekali, ia tidak perlu pekat sepeti kuah rojak buah atau kuah sate. Cukup sekadar cair.

Ulam
Taugeh dicelur dan timun batang dipotong halus

Lain-lain bahan tambahan
Bahan-bahan ini menjadi penambah seri seperti keropok goreng dan tauhu goreng yang dipotong kecil.

Rojak ini juga sedap dimakan dengan ikan celup tepung atau paru goreng.

Sunday, June 9, 2013

DAPUR BOLEH CAS HANDPHONE


Prof Mod Zulkifly sedang demo
Dah baca tak berita, Universiti Sains Malaysia sudah bercaya mencipta dapur yang boleh mengecas bateri handphone. Ini sudah bagus. Yang menariknya dapur ini tiada nyalaan api, ia menggunakan tenaga poros. Poros? saya kurang pasti. Google ya adik kakak.

Bila ada di pasaran, senanglah adik kakak duduk di dapur, sambil memasak bolehlahguna handphone tu, nak instagram ke, nak snap foto, whatsapp ke, weechat ke atau twitter ke atau FB terus foto masakan gunakan handphone yang dicas kat dapur tu. Makin mudah hidup kita ini dengan sains teknologi.

Baca berita kat sini Utusan Online.

Saturday, June 8, 2013

TAK BERTAJUK


Lukisan ini saya hasilkan dalam tahun 1989. Waktu dalam usia belasan. Ketika lukisan ini dibuat, rumah kami dalam proses ubahsuai dari rumah papan menjadi rumah batu dua tingkat. Besar sekali transformasi itu. Tetapi ia bukannya rumah banglo mewah, hanya sekadar rumah batu di kampung, walhal hari ini saya sangat merindui rumah papan bertangga hijau itu. Walau bagaimana pun, cerita lukisan ini saya hasilkan menggunakan cat minyak dan cat kapur yang digunakan untuk mengecat rumah baru kami itu. Tidak ada sebarang berus digunakan, hanyalah jari-jari halus anak muda hensem. Sampai ke hari ini, lukisan ini tak bertajuk dan masih bergantung di rumah saya di kampung. 

Thursday, June 6, 2013

SINGGAH DI BENTA KUALA LIPIS

Tu dia, ikan bakar tawar kahwin dengan budu. Dimadukan
dengan ulam tenggek burung, memang sedap.

Salam semua, maaf lah sebab sudah dua tiga hari tidak kemaskini blog. Maklumlah LB balik kampung. Susah nak cari waktu untuk masukkan entri. Anak-anak dan keluarga minta itu-itu ke sana ke sini, akhirnya LB terlantar tidur bila penat.
Ini tentu lah tahu kan. Ikan patin asam tempoyak.
Yang bestnya kuahnya terasa ada budu. Jadi resipi kacukan
Pahang-Kelatan. Almaklumlah taukenya pun orang
Kelantan. Tapi yang lagi buat selera bila hidang dengan
pinggan comel tu...

Kali ini LB tak ada resipi baru tapi LB nak kongsi, masa perjalanan dari KL ke Kelantan melalui jalan Gua Musang, LB singgah di kawasan rehat Benta (kira-kita 17km dari bandar Kuala Lipis). Rasanya Benta ini, kampung Siti Nurhaliza kan? LB nak bagi tahu, ada satu gerai tu namanya Sedap Sokmo, hidangan tengaharinya sederhana tapi best. Hari tu, LB singgah dan pekena lauk-lauk kampung. Acu tengok gambarnya... kecur tak air liur? Kannn...

Saturday, June 1, 2013

KE KELANTAN



Hari ini kami sekeluarga akan memulakan perjalanan menuju ke kampung. Kami akan bertolak Kelantan melalui Gua Musang dan naik ke Grik untuk ke Kepala Batas, Pualau Pinang. Jauh dan penat itu perkara biasa. Siapa suruh kahwin orang jauh kan?

Tapi sekarang dalam kepala fikirkan makanan yang sedap-sedap saja ni.

Jadi tunggulah entri saya, mungkin ada yang menarik di sana untuk dikongsi. 

SNE PILIH SCHA AL-YAHYA

Foto ini diambil dari twitter Scha
Kali ini LB nak bercakap pasal satu produk yang tengah meletup-letup di pasaran. Produk SNE yang terkenal dengan beberapa produk penjagaan diri seperti beautskin, SNE dan ArtiCarde. Tapi tidaklah LB nak bercakap pasal produk ini sangat kerana LB bukanlah mahir dan dilatih untuk promosikan produk ini. Yang LB tahu, produk-produk SNE ini berasaskan tumbuhan bernama Seabuckthorn. Apa kah benda itu? Senang saja, taip di google keluarlah macam-macam info tentang tumbuhan liar tu. Tapi ada cerita kata, Seabuckthorn ini sudah pun digenakan sejak zaman Genghis Khan lagi, di mana buah ini diberi makan kepada tentera untuk memastikan stamina dan kekuatan dalaman tenteranya. Patutlah Genghis Khan jadi sebuah empayar yang besar. Atau klik saja di sini untuk dapatkan beberapa maklumat.


Tadi LB cakap tak mahu bercakap pasal SNE tapi sambil menaip, cepat saja jari LB buat carian di google. Baiklah, bercakap pasal isteri Awal Ashaari ini, Scha memang sudah kita maklum tentang popularitinya. Bekas Dewi Remaja ini mendaki populariti agak cepat setelah dibuktikan melalui bakat lakonan dan pengacaraannya. Yang bagusnya tentang Scha, lakonannya selamba dan dia sangat bagus untuk lakonan komedi ataupun serius drama. Bila SNE pilih Scha, LB rasa ia memang menepati kerana, Scha ini hadir dengan pakej yang baik - cantik, berbakat dan bijak. Satu lagi kelebihannya, dia rajian jaga badan. Ini petua kecantikan yang diamalkan (Dirujuk dari Majalah Mingguan Wanita 15 Mac 2013):

1. Bersenam 3 kali seminggu
2. Minum air putih minima 8 gelas sehari
3. Cukup tidur dan rehat
4. Ambil makanan yang sihat, banyakkan buah dan sayur
5. Kurangkan makanan berlemak, kolestrol dan karbohidrat
6. Cuci muka sebelum tidur
7. Sentiasa guna pelembap untuk elak kering 
8. Pilih produk badan dan wajah yang sesuai dengan diri
9. Selalu berurut untuk pastikan aliran darah

Jadi, adik kakak yang selalu nak cantik dan bergaya bolehlah jadikan Scha sebagai contoh. Kalau ambil produk kecantikan tapi malas nak bersenam, tidak ke mana juga. Ia tetap datang dari diri kita sendiri. 

Ingat, semua orang dilahirkan cantik kecuali mereka yang malas.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...