Thursday, October 24, 2013

PINDANG SELAR MERTUA


Mertua saya sangat suka masak. Ia bagai terapi buatnya. Sejak saya kahwin badan naik bertingket-tingket! Mana tidaknya, ibu mertuaku ini kalau masak tidak boleh satu atau dua lauk dalam satu hidangan. Biasanya ada tujuh jenis masakan. Kami sangat biasa dengan tujuh hidangan, kalau hanya tiga atau empat ia jadi pelik atau ibu mertuaku akan kata "hari ini tak ada apa pun". Nak lebih seronok, saya, isteri dan anak-anak memang kaki makan. Makin syoklah ibu mertuaku masak. Bukan sekali tapi kerap dalam satu hidangan makan malam kami ada tujuh lauk bersama nasi dan makanan sampingan berupa laksa. Jadi apa nasib saya? Memang bertingket-tingket dan berjangkit-jangkit lemak menaik. Anak saya memang tidak pernah tidak ada selera makan. sehingga menjadi masalah kepada saya apabila mahu suruh anak berhenti makan. Risaulah bila anak perempuan berusia 8 tahun sudah 47kg beratnya.

Baiklah, kali ini saya mahu bagi resipi masakan pindang versi ibu mertuaku. Banyak sebenarnya resipi ibu mertuaku ini, tapi dek kerana saya pun bukan selalu temankan dia di dapur dan tidak cekap mengambil foto, maka terlepaslah banyak resipi. tapi Insyaa Allah saya cuba untuk ambil resipinya. Pindang ini dimasak kerana masa temankan ibu mertuaku ke pasar, dia tidak berapa berkenan dengan ikan-ikan. Katanya tidak segar macam di kampung. Lalu ikan selar kuning kecil sahaja yang menarik hatinya. Itulah yang membawa kepada masakan pindang ini.

Bahan-bahan:

bahan-bahan ini dikisar halus
4-6 biji cili padi hijau/merah
8 biji lada merah dibuang bijinya
2 biji bawang besar
4 ulas bawang merah

ikan selar kuning 8 ekor
2 batang serai dititik
3-4 keping asam keping
seikat daun kesum - ambil daunnya sahaja
air 4 gelas
garam

Masukkan bahan yang dikisar bersama air. Masukkan ikan dan rebus sehingga masak bahan dikisar itu. Masukkan serai dan asam keping. Masukkan garam dan sebelum angkat masukkan daun kesum.

Hidangkan bersama ikan goreng kunyit. Kalau ada ulam dan sambal lagi sedap.


Friday, October 18, 2013

UDANG LEMAK KETUMBAR


Resipi ini saya kira sangat mudah dan ringkas. Masa saya nak menyediakan lauk udang ini, sebenarnya saya sudahpun menyediakan lauk yang lain. Dek kerana tak mahu jadi klise dengan gulai lemak cili padi atau kari udang lalu saya hasilkan resipi ini. Waktu menjamu rakan-rakan ke rumah, mereka menggemarinya.

Bahan-bahannya:

1 kilo udang sederhana (udang kertas dibuang kepalanya)
4 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 sudu makan serbuk kunyit
1 ikat daun ketumbar (dalam RM1)
2 biji lada merah
1 kilo santan pekat

Cara membuatnya:

Bawang dan kunyit ditumbuk halus. Daun ketumbar dipotong kecil. Semua bahan itu direbus bersama segelas air. Bila mendidih dan nampak bergaul semuanya, masukkan santan pekat dan kacau hingga mendidih. Masukkan serbuk kunyit untuk tambahkan rasa dan warna. Masukkan udang dan biarkan seketika. Bila udang dah masak, masukkan lada merah dan hirisan daun ketumbar. Tutup api.

Siap untuk hidangan.

Wednesday, October 16, 2013

MAKAN BARAT DI MIZI'S PENANG

my princess with her lasagna. 
Dari bulan Ogos lagi anak sulungku berhajat nak makan di Mizi's. Ini semua gara-gara Tok Maminya yang bercerita tentang kesedapan mushroom soup dan steak di restoran Mizi's. Anakku yang memang hantu masakan barat apatah lagi menunya daging maka berulang kalilah dia mengajak kami ke Mizi's.

Lupa pula nama steak pilihan abang.
Rasanya London steak with chicken
Masalahnya Mizi's tu tak pernah ada dalam kepalaku. Tak ada idea bagaimana dan rupa restoran itu. Tiba-tiba sahaja Tok Mami buka cerita. Lalu anak sulungku dengan gigihnya melayari internet dan membuat carian Mizi's di pulau Pinang. Nyatanya Mizi's ada tiga cawangan iaitu di Prangin mall, Tesco Tanjung Tokong dan satu lagi di Burma Road.
ini my choice - Caesar salad. The gravy memang superb.
Kami sampai di kampung pada jam 11 malam hari sabtu. Petang ahad, anak sulungku dah bersiap mahu ajak keluar cari Mizi's. Eloklah juga sebab cuti kali ini tidak banyak agenda. Apatah lagi sudah lama saya tidak ke Tanjung. Lalu kami keluar selepas zohor menuju jambatan Pulau Pinang. Masa keluar di simpang rumah Taman Bahagia, isteriku bagi idea untuk ajak Tok Mami sekali. Good idea! sebabnya kami pun sudah kurang arif dengan jalan-jalan di Tanjung apatah lagi hala nak menuju ke Tesco Tanjung Tokong itu.

Ini sirloin yang isteri saya pilih. Dia request medium.
Dagingnya sangat lembut dan sos mushroomnya
memang menjilat pinggan
Masuk je Mizi's, saya tertarik dengan decoration nya yang ala-ala restoran di USA. Satu foto pun saya tak ambil. Sorry ya. Tapi Mizi's terletak di aras bawah Tesco Tg.Tokong. Bila buka menu, mata dah mencari-cari makanan dan mulut dah basah. Yang bagusnya Mizi's buat satu kaedah menempah makanan yang memudahkan kami. Kami ambil set RM25 dengan soup of the day (which mushroom soup was so lovely dengan rasa tekstur cendawan dan lemak berkrimnya), satu main course yang tersenarai, minuman dan dessert berupa ice cream yang boleh dimakan seberapa scoop yang mau. Best tak bunyinya.

Spaghetti pilihan Ma & Pa. Banyakkan?

Kami pergi bertujuh tapi kami order lima set sahaja sebab hidangannya besar dan banyaaaakkkk. Saya pesan caesar salad yang awesome!

Selamat Hari Raya Aidiladha.

Friday, October 11, 2013

MERPATI SUMBAT DI KAHERAH


Biasalah saya, kalau berjalan ke tempat orang saya memang suka merasa makanan tempatan. Ia bagi rasa adventurous. Saya akan jadi teruja dan rasa ralat bila tak menjamahnya. Tapi syaratnya mestilah halal dan tidak mendatangkan was-was. Selain halal saya juga sangat cerewet soal kebersihan. Jadi catatan saya ini sebenarnya kisah perjalanan saya ke Kaherah, Mesir pada Oktober 2012. Aidiladha bakal menjelang tandanya genaplah setahun, kerana waktu saya pulang ke tanahair dulu, dua hari sebelum raya haji. Rasa ralat juga tidak menyambut Aidiladha di sana, kerana cara sambutannya berbeza dan cukup meriah acara korbannya. Tak ada rezeki.

Bila di Kaherah, perasaan jadi berbeza. Kota metropolitan itu sangat sesak dan berdebu. Dalam hati saya penuh kekhuatiran bila berdepan soal kebersihan. Sepanjang jalan sam ada di kaki lima atau di tangga rumah, debu yang merata dan kering. Ia kesan daripada padang pasir apatah lagi udaranya sangat kering. Jadi dalam hal saya yang memang suka makan-makan terpaksalah saya berhati-hati. Untuk entry kali ini saya nak cerita kisah makanan yang popular di Cairo, saya panggil Merpati Sumbat tapi nama sebenarnya Hamam Mahshi. Yang dalam gambar benda berkepak tu. Itulah hamam mahshi.  Sebelahnya ialah kofta. Kat Malaysia pun ada, sekarang kan popular masakan Arab. Ia daging cincang yang digaul dengan rempah dan daun herba kemudiannya dipanggang.

yang dalam gelas itu, bukan minuman tetapi sup. Rasanya macam stok rebusan
daging dicampur dengan rempah. Sedap juga. Saya boleh tambah.
Sepanjang 10 hari saya di sana, saya ambil satu hari penuh berjalan sekitar Cairo khususnya berhampiran pasar Khan Khalili dan Westubalad. Ini memang kawasan syurga beli belah. Kalau mahu jubah yang harga beratus di Malaysia, di sana boleh dapat puluhan ringgit sahaja. Sekitar pasar Khan Khalili itu ada banyak restoran khususnya yang menghadap masjid Sayyidina Hussin. Harga makanan di situ sangat mahal kerana ia tumpuan pelancong. Jadi saya dibawa oleh salah seorang penjual jubah ke sebuah restoran yang popular tetapi harus melalui lorong kecil. Risau juga takut diapa-apakan, al maklumlah bersama saya ada dua gadis jelita (bila saya kata jelita... mereka memang jelita kalau tidak masakan penjual sanggup membantu menunjukkan kedai makan ini). 
Ini restoran depan masjid sayyidna Hussin.
jangan makan di sini - MAHAL!
Setibanya di restoran itu, kami tidak tahu nak pesan apa. Penjual jubah sudah berlalu. Lalu mata saya meninjau meja sebelah. ternampaklah saya merpati tergolek atas pinggan. Saya pun tunjuk saja mahu merpati itu. Dua gadis teman saya, Hana dan Mira, takut nak makan merpati itu, nampak macam bukan burung, dengan bentuk seketul keras. Maaflah saya perlu menerangkannya, tiada gambar satu-persatu yang boleh saya ceritakan. Tapi isi merpati sangat lembut. Di dalamnya disumbat nasi yang telah dimasak terlebih dahulu bersama rempah arab. Memang rasa nasi didalamnya tidaklah seperti nasi mandy atau madghut, tapi bagi saya ia boleh dimakan. Daging merpati sedap diratah dan disulam dengan salad dan acarnya. Kofta yang kami pesan datang bersama acar dan roti yang dipanggil aisy. Kenapa aisy? Kerana roti itu simbol kehidupan. Aish maksudnya hidup. Teksturnya tidak lembut, sedikit liat dan berpasir. Tapi enak sekali bila kita sumbatkan daging kofta dan acar dengan sedikit sos putih kedalamnya. Memang lazat. Saya ulang dua kali datang ke kedai ini.
Eh ni ada satu foto dalam badan merpati tu.
hasil bedah siasat, lihatlah isi kandungannya.
Di sekitar Khan Khalili ramai sekali menjual roti ini. Mereka kelihatan miskin dan menjunjung roti bertingkat-tingkat. Saya cuba merakam foto tapi dimarahi. Roti itu dijual hanya berapa sen sahaja. Penjualnya dari wanita tua sehinggalah budak lelaki belasan tahun, tersentuh hati saya melihat susahnya mereka mahu menghabiskan bersusun-susun roti aisy. Yang pada pandangan saya kalau habis kesemuanya, hasilnya tidak sampai RM15.

Kalau ada peluang datang ke Kaherah, banyakkan minum air, sifat tegas sangat penting kerana orang mereka suka ambil peluang tapi mereka peramah dan mesra. Wanita jangan berjalan seorang elok ramai kerana selalu ada kes. Bahasa jadi masalah kerana bahasa Arab sahaja yang dituturkan jadi elok cari kenalan yang tahu berbahasa Arab, hubungi pelajar Malaysia al Azhar. Sini kenderaan penuh, jalan jem jadi merancang masa sangat penting. 

Inilah dua gadis itu; Hana dan Myra - Cantik ke tidak?
Kamu berdua memang lucu, gila-gila dan sporting!
Ada kisah lucu sepanjang hari itu tapi kami
betul-betul enjoy berjalan. Yang penting
mereka sangat popular di khan khalili.

Tuesday, October 1, 2013

GULAI TELUR ITIK MANGGA PUTIK


Macam mana ada kecur liur tak bila baca tajuk entri kali ini? Saya yang sedang menulis pun boleh berair mulut. Kesedapan masakan ini bukanlah kerana saya memasaknya tetapi menu ini memang bangkit selera. Siapa pun yang memasaknya. Bunyi macam mudah... alah gulai telur itik aja, tapi adik kakak semua, caranya perlu teliti, ada langkahnya supaya telur tidak berserak dan kuah tetap lemak pekat berkrim... voila!

Ada orang tanya kenapa telur itik? telur ayam tak bolehkah? Saya rasa tekstur telur itik sikit berbeza. Isinya sedikit kenyal berbanding telur ayam dan kandungan telur putihnya seakan melingkar kuat telur kuningnya.

Ada orang masaknya dengan belimbing buluh, pun sedap tapi saya lebih suka mangga putik. Rasa masam dan kesan rangup kulit mangga memang membangkit selera. Apatah lagi masakan ini diregukan dengan ikan goreng dan ikan masin. Maaflah ya, saya cuma mencadangkan sahaja regunya. Ada setengah tempat kalau masak lemak, tidak dimasukkan bawang tapi saya ikut cara kelantan, lalu masuklah bawang. OKlah ambik sahaja resipinya.

Resipinya:

10 biji telur itik (bersihkan betul-betul ya)
3 biji mangga putik ( dihiris isi bersama kulitnya. Maka bersihkan betul-betul kulitnya).
2 biji kelapa (santan pekat)

Bahan ini perlu ditumbuk:
4 ulas bawang merah
3 inci kunyit
2 inci halia
2 inci lengkuas
10 biji cilipadi hijau
serbuk kunyit (jika perlu)

2 biji lada merah

cara-caranya:

Masukkan bahan yang ditumbuk bersama-sama dua cawan air. Rebus sehingga masak. Masukkan satu atau dua hirisan mangga dan biarkan ia lebur. Kemudian masukkan secawan santan. Biar mendidih. Masukkan telur itik satu persatu (untuk elak berterabur isinya pastikan santan cair mendidih panas, pecahkan telur ke dalam piring kemudian letak perlahan ke dalam kuah. Masa masukkan telur, pastikan ia tidak bertindih. Selangkan masa antara satu telur lebih kurang 20-30 saat).

Bila sudah masukkan kesemua telur itu, biar seketika. Ingat jangan kacau sepanjang telur dimasukkan. Biar santan itu mendidih seketika. Lebih kurang dua minit baru masukkan santan pekat kesemuanya. Masukkan isi mangga kesemuanya, cili merah. Biarkan mendidih seketika. Jangan lama dan elakkan santan pecah.

Selamat mencuba.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...