Friday, January 10, 2014

LEGOLAND DAN SINGAPURA


Seperti dijanjikan, saya bawa keluarga bercuti. Hanya nun jauh ke selatan semenanjung. Tahuh 2012 hampir jejak ke Legoland tapi batal pada hari menuju ke sana. Jadi kami berempat merancang bukan awal pun tapi di saat akhir. Alhamdulillah dapatlah penuhi impian anak-anak. Memang betul kata orang bila kita merancang bercuti, ia bukan sahaja soal masa tapi kewangan juga harus dirancang dengan baik sekali. Waktu kita anggarkan soal penginapan, tiket dan pengangkutan tapi perkara-perkara kecil yang tiba-tiba muncul di kepala juga harus diambil kira. Apatah lagi saya yang jenis suka berbelanja ikut mood.


 Bila Aish dan Rhea dapat masuk Legoland, saya kira langsai hutang walaupun ultimatenya adalah Universal Studios. Tapi bagi saya, kalau dalam negara pun ada kenapa mahu dahulukan yang luar. Baik berhabis duit di negara sendiri dahulu.


Cuba tengok cara Rhea posing, memang tak kalah lah kan? Kiri tu adalah Dinasti Mirza dan kanan adalah pintu masuk menuju roller coaster.


 Bila tengok anak-anak happy, kita pun happy lah juga. Banyaklah permaiann yang mereka mahu cuba termasuklah roller coaster. Dengan saya pun terperangkap sama. Waktu naik roller coaster kali pertama di Sunway Lagoon dan berulang kali di beberapa tempat termasuklah Everland di Korea, saya masih ok. Tapi kali ini perasaan lain sikit, mungkin saya fikirkan soal kesihatan, macam-macam saya fikir tentang jantung saya. Nampak sangat dah tua ya.


Kami sempat masuk Singapura tapi malangnya hari itu hujan jadi tak banyak tempat menarik boleh kami kunjungi. Teksi pun tak mahu ambil penumpang kerana jalan jam. Tempat pertama tentulah ke Masjid Sultan. Pekena dulu nasi beriani katt Zam Zam . Boleh pujilah kedai mamak singapura ni, bersih dan teratur. Kami melawat sekitar Masjid Sultan termasuklah Istana Kampung Gelam yang kini sudah jadi muzium.


Saya pastikan anak-anak baca dan tengok cerita bangsa Melayu Singapura yang jadi minoriti di tanah sendiri. Ada video kisah rumah kampung bertukar jadi rumah flat, bagaimana suasana itu mempengaruhi kehidupan Melayu khususnya golongan tua. Anak muda Singapura hari ini mungkin terbiasa dengan cara flat. Teringat pula filem Kolumpo, kisah Nek Wok lakonan Mak Mah yang hidup di flat tapi fikiran masih pada tanah pinggir lombong. Hari ini pun kalau kita tengok di Malaysia, tanah jadi mahal, orang melayu hanya beli apartment, orang lain yang mampu miliki tanah.


Singgah Singapura untuk satu hari berjalan memang tak cukup sebab Singapura walau kecil banyak tempat tumpuan. Saya teringin nak makan di restoran Hajah Maimunah di Geylang tapi tak sempat. Jadi kami dinner di Cafe Kampung Glam yang makanannya tak sedap langsuuuung! Namun sebelum ambil teksi balik JB, sampat saya bungkus murtabak Victory pengubat kecewa makan di cafe itu.

Saya kira kita perlu belajar beberapa perkara dari Singapura, cara mereka menjaga kota bersih dan klas A. Bangunan lama dikekal dan dijaga. Sikap orang kita kena berubah. Waktu dalam teksi menuju JB, pemandu Singapura sangat bangga dengan negaranya, dia bangga dengan nilai dollarnya dan seolah persendakan orang kita yang mencari makan di tempatnya. Tapi pada masa sama dia akur bahawa ramai singaporean hidup dan menetap di JB kerana kos hidup yang tinggi. Katanya Singapura ada macam-macam, Malaysia tak banyak tempat menarik. Oleh kerana kami dalam kereta dia, saya diam dan 'hmmm' aja nantikan jadi lain pulak walau geram tu macam nak keluar aja perkataan. Waktu saya aju soalan berkaitan sejarah bagaimana Singapura keluar Malaysia, dia tak jelas. Memang patut saya tak perlu berhujah dengan dia, dia berfikir pada aras lebih rendah. 

Thursday, January 9, 2014

BUBUR ASSYURA KELANTAN


Ini bukan calang-calang masakan, ini kira masterpiece juga bagi orang Kelantan. Bila sebut bubur assyura, masing-masing teringat bubur assyura di tempat masing-masing. betullah tu. Memang kita mesra dengan cara setempat. Tak gitu. Kali ini LB nak share resipi bubur assyura kelantan yang popular dengan manis dan berempah. LB tak hairan dan kecil hati kalau member dari negeri lain tak suka dan buat muka pelik bila makan bubur assyura kami. Biasanya bubur assyura kami, kami panggil Sugho.

Biasanya sugho dimasak secara gotong-royong. Masa di kampung dulu, kalau kawasan kami buat sugho maka ramailah orang-orang kampung datang menolong dan siap bawa uah tangan tanda mahu bersam, biasanya mereka bawa sekilo gula. Pernah sekali dalam tahun 1985, masa rumah kami buat sugho, punyalah banyak terkumpul gula yang diberi orang. Cuba bayangkan kalau masing-masing bawa sekilo. Sugho ni bukan kerja remeh, ia ada peringkat-peringkatnya dalam memasak. Itu pasal kami masak secara gotong-royong. Yang mengacau lain, yang menyedia sukatan lain, yang menjaga api lain dan yang menjaga rempah lain pulak. Jadi ia bukanlah kerja seorang diri.

Tapi nak dijadikan cerita LB memang pasang cita-cita nak masak sugho sendiri. Saya rasa macam boleh buat sendiri dalam skala kecil. Sebenarnya sudah lama saya pasang niat ni cuma baru kali ini jadi. Waktu abang saya cuti di kampung saya pesan, rempah sugho untuk sukatan sekilo beras. Jadi tak sempatlah saya masak dalam Awal Muharam. Saya masak sugho pada 1 Jan 2014, hahaha sempena tahun baru masihi hahaha. Sebab itupun masa yang free. Proses buat sugho ini bukian setakat sedia bahan terus masak, boleh tapi lagi lamalah tempoh memasaknya. Jadi seeloknya sehari sebelum memasaknya, kita buat pre-cook dahulu bahan-bahan yang lambat untuk hancur dan empuk. Oklah ini bahan-bahannya:

1 kilo beras (jangan basmathi), elok beras berkanji. Rendam semalaman kemudia blend bagi kecil bijinya.
1 kilo kacang hijau (perlu direbus malam sebelum masak sugho)
1/2 kilo ubi stelo (keledek) - rebus sebelum
4 batang jagung - ambil bijinya saja dan direbus sebelum ( jagung kernel dalam tin pun boleh)
1 tin kacang merah
1 kilo daging liat (direbus empuk dan diceraikan isinya seperti serunding)
2 kilo santan pekat (dimasak dahulu sehingga pecah minyak)
4 tongkol gula merah
2 cawan gula pasir
1 sudu teh garam
Kerisik

Bahan untuk dikisar dan digaul dengan rempah:
20 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
3 inci halia
3 inci lengkuas
4 batang serai
1 sudu makan jintan putih
1 1/2 sudu jintan manis
2 sudu ketumbar
rempah sugho untuk sekilo beras (nak lagi sedap digoreng tanpa minyak)

cara membuatnya:

Didihkan beras sehingga menjadi bubur nasi, masukkan kacang hijau sehingga menjadi bubur, masukkan satu persatu keledek, jagung dan kacang merah. Kacau selalu atas api perlahan. Jangan biarkan berkerak. Tambah air jika adunan kering. Kacau sehingga kesemua bijirin itu kelihatan seperti bubur. Kacau sehingga pekat. Kemudian masukkan bahan yang dikisar bersama dengan rempah sugho. Kacau seketika sehingga bergaul. Masa ini adunan akan berwarna gelap. Masukkan daging. Kacau. Masukkan santan. Biarkan ia benar-benar mendidih agar rempah dan bahan kisar masak. Kacau selalu. Apabila adunan mula mengering, masukkan kerisik, gula dan garam. Kacau sehingga likat dan berkilat.

Sebelum masak, saya bajet sekilo beras dapat dalam satu periuk rupanya hitungan saya salah. Jadi saya terpaksa bahagi dan masak menjadi dua periuk. Sugho kelantan akan mengeras menjadi seperti bingka, tetapi oleh kerana sukatan beras saya sama seperti kacang hijau maka ia tidaklah terlalu keras. Jadi kalau anda mahu tekstur yang padu, kurangkan beras lebihkan kacang. Kalau masak dirumah elok gunakan kuali atau periuk non-stik. Lama tu nak mengacau sorang-sorang. Saya masak dari jam 1 tengahari hingga jam 6 petang baru masak.

Untuk hidangan, sugho sedap dimakan dengan garnishingnya iaitu kelapa tumbuk yang dicampur dengan bawang merah, serai dan halia bersama gula dan garam. Tambah seri hiris telur dadar halus-halus.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...