Wednesday, December 18, 2013

AGODA: BAIK BURUK MENEMPAH HOTEL


Musim cuti sekolah dan cuti menuju tahun baru ini, ramai sekali mengambil peluang bercuti. Termasuklah saya. Tapi saya ni selalu saja buat keputusan saat akhir sama ada destinasi ataupun tempat mana nak menginap. Malam tadi baru saja saya ambil keputusan untuk cari hotel di Johor Bahru. jenuh jugalah mencari yang sesuai dan cukup untuk budget. Al maklumlah lepas cuti, sekolah nak buka. banyak juga nak pakai tu.

Dalam mencari hotel di JB ni, klik lah saya hotel yang di'link'kan melalui Agoda. Memang saya pernah dengar nama ini tapi belum pernah menggunakan khidmatnya. Banyak sekali hotel yang disenaraikan oleh Agoda. Dari yang lima bintang hingga yang tiada bintang. Malah yang menariknya kita boleh survey melalui review oleh orang-orang yang pernah menginap di hotel yang kita intai tu. Dapatlah tahu buruk baiknya, bersih ke kotor atau cekap atau tidak servisnya.

Jadi saya pun dengan yakin menempah satu hotel yang taklah banyak benar bintangnya. Maklumlah kita nak tidur saja, siangnya kita merayau. Tapi adalah kemudahan gym dan kolam mandi untuk anak-anak. Dalam laman hotel tu macam menarik aja gambar-gambarnya. Berkenanlah kita. Lalu tempahlah satu bilik yang kira-kira boleh muat kami berempat. Perlu diingat, Agoda ada bagi syarat dan persetujuan yang perlu kita akur. Tapi saya ni yang jenis ok aja, lalu masukkan aja no kad dan pay thru ajalah. Saya tempah untuk masuk 19 dan keluar 21 Disember.

Tapi hari ini sebenarnya saya sudah di JB cuma duk di hotel lain. Anak-anak memang gemar masuk keluar hotel. Environment baru katanya. Jadi kami duk di hotel lain tapi hati gatal mahu juga pi tanya hotel yang saya tempah melalui Agoda tu. Lalu saya pun tanyalah. Alamak, bilik yang indah dan jangkaan saya muat untuk kami berempat rupanya salah jangkaan. Kata staf, itu bilik double single. Eh! saya tengok memang double queen. Jadi silaplah saya. Lalu sayapun cakaplah mahu tukar bilik dan jika perlu tambah bayaran saya sedia. Tapi apa jawab staf yang baik itu, "maaf encik, encik kena berurusan dengan Agoda untuk sebarang perubahan". Maksudnya saya kena mengadap internet untuk buat tambahan atau penukaran.

Saya pun baliklah ke hotel yang saya duk ni, surf Agoda. Tentulah perubahan itu ada kosnya. Bila saya hitung balik memang bertambah kos saya. Lalu saya buat pembatalan penempahan. Tapi kena ingat, saya dah buat pay thru untuk dua malam. Bila dah buat batal, saya kena bayar kos Agoda, dek kerana tempoh pembatalan saya dalam masa satu hari, maka saya kena dikenakan bayaran sebanyak separuh kos dua malam hotel itu. Cis!!!!

Nak menyumpah pun tak guna. Senyap ajalah. Sebab dah memang syarat Agoda begitu. Inilah salah satu sebab kenapa sya tak suka berurusan dengan perkhidmatan seperti ini. Ia jadi rumit jika kita ada masalah. Bagi saya lebih baik berurusan terus dengan pihak hotel supaya kita dapat maklumat jelas. Bukan pakai tengok gambar saja.

Dah nak buat macama mana. Silap sendiri.Agoda tu orang berniaga. mana mahu rugi maaaa...

Monday, December 9, 2013

CUTI SEKOLAH YANG HAMBAR

foto ini saya rakam waktu saya
di pintu bertolak. 

Entah kenapa saya jadi kesian dengan dua anak saya. Sepatutnya cuti sekolah adalah masa mereka bercuti. Istilah bercuti ini agaknya seperti melancong ataupun balik kampung. Tapi tahun ini, rancangan berubah. Kedua-dua anak buat pilihan tak mahu balik kampung. Dia merayu supaya mereka tidak dihantar tinggal dengan datuk neneknya. Kalau tidak, setiap bulan disember, saya dan isteri harooray tengok wayang bersama atau dinner hingga lewat malam.

Saya tanya mereka kenapa tak mahu balik kampung, kata mereka 'bosan'. Saya faham benar dua beradik ni. Bosan kerana biasanya bila cuti sekolah kami hantar mereka untuk masuk kem agama di kampung. Kira dua ke tiga minggu jugalah. Jadi ini auta mereka. Satu lagi yang saya faham, mereka tak betah dengan disiplin neneknya. Memang saya akui, mak mertua saya garang. Pantang kalau perangai kurang sikit dimarahnya. Saya pun dimarah lagikan cucu-cucunya. Jadi, saya congak jugalah memandangkan anak sulung sudah 13 tahun. Riak remajanya sudah nampak. Saya setuju tapi saya pun ada syarat juga. Mereka tetap kena ikut kelas agama. Tapi saya bawakan seorang ustaz untuk mengajar tiga kali seminggu ke rumah. Anak-anak saya setuju asalkan tidak balik kampung.

Cuak saya pun ada juga, kerana sepanjang cuti sekolah ini, saya pun ada dua tiga projek yang mem'busy'kan saya di luar. Sekejap-sekejap saya outstation. Lepas outstation saya berlari ke projek lain pulak. Jadi masa untuk mereka hanya sebelah pagi sahaja. Bila petang saya sudah keluar rumah. Dengan penat, saya tak sempatlah nak masak-memasak jadi kami banyak makan di luar. Saya kira itupun satu cara untuk mereka rasa bercuti, tidak terkepun dalam rumah sahaja.

Ikut rancangan, cuti sekolah ini jugalah saya janji mahu bawa mereka keluar. Setakat ini pasport sudah saya siapkan. Cuma jadual dan penginapan belum saya buat. Harap-harap dapat saya penuhi janji itu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...