Tuesday, August 27, 2013

LAKSA KAMARUL


Tidak tahu apa nak dihidangkan kepada tetamu? Musim orang buat rumah terbuka memang banyak sekali makanan berasaskan santan dan daging. Jenuh dan kadang-kadang naik jemu. Saya kalau pergi rumah terbuka, ambil rasa sahaja rendang dan lemang. Tapi kalau ada laksa penang atau mee soto, kami bedal. Sebagai menggantikan menu-menu biasa di musim raya ni, saya mahu syorkan satu resipi, resipi ini saya cipta pada tahun 1999. Dah lama tu tapi jarang-jarang sekali saya persembahkan kepada tetamu. Foto di atas pun, saya ambil semasa saya masak untuk keluarga dalam bulan Ramadhan lalu.

Kenapa namanya Laksa Kamarul? Haaa... sebab ia berbeza dari laksa biasa dan ia boleh dimakan sama ada dengan angel hair atau bihun atau  kuetiaw (paling best). Laksa ini tidak menggunakan ikan tapi udang kering. Saja nak bagi gempak lalu diletakkan 'Kamarul' sebagai kredit kepada penciptanya.

Ambillah resipi ini untuk 4 orang;

Bahan dikisar:
4 ulas bawang putih
6 ulas bawang merah
1 batang lobak merah (saiz sederhana)
2 biji tomato (saiz sederhana)
udang kering (segenggam tapi terpulanglah kalau nak lebih pun takpa, ia direndam dalam air panas sebelum dikisar)
8 tangkai cili kering (rendam air panas dulu tapi kalau guna cili giling pun ok)
1 inci halia

Setengah ekor ayam dipotong kecil
air dua jug
garam
gula
lada hitam
lada putih
1 batang serai
daun sup

Hiasan dan sisipan:
Udang yang telah direbus
lada merah dihiris
sawi yang dicelur
taugeh

Cara membuat:
Tumiskan dua biji bawang merah dan dua ulas bawang putih untuk wangikan masakan, bila agak kekuningan baru masukkan bahan yang dikisar. Masak sehingga pecah minyak. Masukkan ayam dan kacau seketika sehingga isi ayam kelihatan mengecut. Masukkan air dan biarkan mendidih. Kemudian masukkan kesemua bahan untuk kuah. Biarkan ia seketika.

Selamat mencuba.

Sunday, August 25, 2013

JOM TENGOK 'TANDA PUTERA'


Sempena bulan kemerdekaam, marilah kita ke panggung, sama-sama kita semarakkan semangat serta meningkatkan pengetahuan kita tentang sejarah tanahair. Filem Tanda Putera akan mula ditayangkan pada 29 Ogos 2013, eloklah kita bawa keluarga, kekasih atau teman-teman ke panggung. Filem macam ini LB rasa patutlah kita sokong. Ia mengenai jatuh bangunnya bangsa Malaysia dan semestinya boleh meningkatkan perasaan cinta kepada tanahair. 

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang persahabatan yang akrab di antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak  dan Timbalannya, Tun Dr. Ismail yang terpaksa berahsia serta mengetepikan masalah kesihatan yang dihadapi masing-masing bagi memulihkan keadaan negara ekoran daripada tercetusnya peristiwa hitam pada 13 Mei 1969. Tun Abdul Razak terpaksa menyimpan rahsia tentang penyakit leukemia yang dihidapinya kerana tidak mahu keluarganya tertekan. Beliau juga bimbangkan keselamatan negara pada ketika itu. Mereka berdua juga telah berkongsi doktor melalui Dr. Macpherson . Bilik bacaan di rumah Tun Dr. Ismail telah dijadikan klinik rahsia untuk rawatan mereka tanpa pengetahuan sesiapa termasuk kaum keluarga Tun Dr. Ismail sendiri.

Apabila mengetahui penyakitnya akan membawa maut dalam masa dua tahun, Tun Abdul Razak bersyukur kerana rakan baiknya iaitu Tun Dr. Ismail yang juga dianggap sebagai orang kepercayaannya, bersifat jujur dan berintegriti akan dapat meneruskan rancangan mereka bagi pembangunan negara. Tun Abdul Razak juga yakin Tun Dr. Ismail akan dapat menunaikan janji untuk menjaga keluarganya nanti. Tetapi, apabila terjadinya perkara yang tidak disangka-sangka olehnya, Tun Abdul Razak mendapat kejutan besar yang hampir memudaratkan lagi kesihatannya.

Kalau nak tahu kesudahannya... ke panggunglah kita. Jangan tunggu di TV saja.

Di bawah ini, lagu tema Tanda Putera berjudul Tanda nyanyian Awie




Friday, August 23, 2013

KAT KELANTAN DAPAT DUIT SIKIT!

Hari Raya akan menjadi hari-hari biasa bila kita laluinya sebagaimana hari biasa. Hari Raya tidak akan jadi bermakna dan akan dikenang jika tiada moment yang manis untuk kita ulang mengenangnya. Dan kerana itu hari raya menjadi hari yang selalu menggamit kenangan pada orang tua dan sanak saudara.


Raya ke 5: makan tengahari di rumah abang tua, Fauzi. Kak Yam
masak gulai lemak ikan kering, daging goreng, ikan goreng dan sambal pauh.
hmmpphh simple but memang sedap di musim orang makan rendang
Kerana Hari Raya itu disebut sebagai hari kemenangan maka haruslah ia diraikan. Meraikan aidilfitri itu boleh dalam macam-macam cara. Tapi memilih untuk berkumpul dan makan-makan adalah cara paling harmoni bagi saya. Apatah lagi keluarga besar kami sangat suka makan-makan. Kedua arwah orang tua saya dan kini kedua mertua saya memang suka meraikan dengan makan-makan. Bukanlah ia satu kemegahan atau satu keutamaan tetapi ia menjadi satu ritual untuk kami berkumpul dan bermesra.

My love


Raya ke3 - kenduri aqiqah anak Ghazali dan Zulkifli.
2 ekor kambing rebah

Saya pasti ada sesetengah orang memilih hari raya adalah hari untuk bercuti. Membawa keluarga ke satu destinasi dan mereka melancong. Itu pilihan masing-masing. Tapi saya tetap percaya hari raya adalah hari terbaik untuk kita bertemu dan bersua yang telah lama terpisah. Yang jarang dan kurang bertemu apatah lagi yang ada terguris dan terluka. Inilah hari memulihkan kembali silaturrahim. Kami dalam keluarga besar, perlu ada usaha untuk mempertemukan anak-anak dengan sepupu-sepupu serta saudara mereka. Saya rasa perbezaan antara kami di bandar dan sepupu mereka di kampung harus dimesrakan di halaman. Biar mereka bermain dan mengenal buruk baik saudara sendiri.

Saudara bertemu, dulu anak dara kini semuanya mak anak dara
4 bujangan dari 4 keluarga

Raya 4: Makan lewat malam rumah adik, Hisham. Malam itu
kami dijamu meehoon goreng, tapai beras dan roti canai.
Cukuplah tu!
Rumah cikgu Hisham di warnanya kuning seluruh rumah
 Sebelum balik Pasir Mas, anak-anak saya sibuk bilang duit rayanya dan terpacul dari mulut mereka, "Kat Kelantan mesti tak best sebab tak dapat duit raya banyak macam ni". Saya diam sahaja. Bila mereka balik Kelantan, anak perempuan saya minta tambah hari menginap kerana tidak puas bermain dengan sepupunya. Dia tidak kisahkan lagi duit raya, dalam fikirannya hanya mahu main-main dengan sepupunya.

hadapan rumah abang Fauzi, kami lepak dan borak2. Ini baru
anak-anak dari 3 keluarga
Raya 5: Petang ke rumah keluarga mertua adik bongsu, Awi
di Rantau Panjang. 5 keluarga bertandang. kami dijamu
yang ringan-ringan sebab malam itu kami ke rumah
abang zul yang sedia dengan laksa kelantan

Raya ke6: Minum petang, kami berkumpul di rumah pusaka,
sebelum saya pulang ke Pulau Pinang, saya beli macam-macam
kuih Kelantan. Siti masak bihun goreng.

Petang itu ada buah tanjung, jala mas, pulut inti, karipap,
tauhu sumbat, ulat bulu, nonde, pulut pisang, bledo, mee celup.

ini sebahagian daripada anak-anak dari 6 keluarga
bila Rhea minta tambah hari di Kelantan terus saya kata pada anak-anak, "kan seronok balik Kelantan, ada banyak kawan walaupun tak dapat banyak duit".


hero-hero masa hadapan
Walau apapun caranya, hari raya perlu dihidupkan. Menghidupkan hari raya memerlukan usaha mengadakannya. Kita tidak boleh menunggu hari raya datang dengan keindahan. keindahan itu harus diciptakan, diraikan dan difikirkan bagaimana mahu mengisinya. Kita yang sudah punya anak, harus memberikan titipan kenangan buat anak-anak agar mereka lihat ini budaya yang mesti wujud dalam keluarga kami. 

Tuesday, August 6, 2013

SETULUS INGATAN, SEMURNI LEBARAN


Sempena Syawal dan perginya Ramadhan, saya mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan yang diberikan kepada laman ini yang baru sahaja berusia 3 bulan. Sekiranya ada kesilapan bicara dan mengguris perasaan anda, saya memohon ampun dan maaf, semua itu datang dari kekhilafan saya sebagai manusia.

Semoga di musim perayaan ini, anda sekeluarga berbahagia dan selamat walau di manapun berada. Dan semoga Allah merahmati kehidupan kita semua. Insya Allah.

Selamat Hari raya, Aidilfitri.

Sunday, August 4, 2013

BERBUKA DENGAN SAHABAT

Malam meraikan Joseph dan anak muridnya bersama isteri dan anak
lelaki saya

Saban tahun bila masuk sahaja Ramadhan, agenda mengundang tetamu ke rumah sudah jadi rutin malah anak-anak pun selalu bertanya, siapa nak datang rumah puasa ni? Lebih istimewa bila kawan saya Dr.Joseph Gonzales pun merasakan tidak lengkap bila tidak makan-makan dan berbuka bersama semasa Ramadhan. Biasanya saya tidaklah menjemput lebih daripada 10 orang dalam satu masa, Al maklumlah kudrat nak memasak pun bukan hebat sangat. Jadi jemputlah lima enam orang yang berkesempatan.

 

Tahun ini mungkin kerana hujung minggu tidak banyak jadi tak dapatlah saya menjemput rakan-rakan mengikut kelompoknya. Hahaha ada kelompok juga ya. Bukan apa senang nak fokus bila bersembang. Maksud saya hujung minggu tak cukup tu sebabnya hujung minggu pertama saya baru pulang dari luar negara jadi masa bersama keluarga sahaja dan hujung minggu terakhir Ramadhan, masing-masing dah sibuk balik kampung dan saya ada acara rasmi pulak. Yang tinggal hanyalah dua hujung minggu sahaja. Nampak gayanya tak sempatlah nak undang rakan dalam senarai, kena tunggu lepas raya pulak. Insya Allah.

Nampak tak menunya tu, malam tu saya jadi chef untuk kesemua
menu kecuali minuman. Hidangannya Asam pedas daging tetel, udang
lemak ketumbar, ikan goreng sambal, ayam goreng, kerabu kacang botol,
kacang buncis hati pedal dan sambal belacan pauh putik dengan ulam.
Bagi saya, Ramadhan adalah bulan bersilaturrahim. Bulan untuk kita bersedekah. Menjamu rakan-rakan dengan masakan sendiri rasanya lebih puas dan terasa nikmatnya. Makan sama-sama dengan hidangan ala kadar. Saya ingat lagi waktu saya bujang dulu pun, masa tinggal seorang diri saya turut menjemput rakan ke rumah untuk berbuka apatah lagi bila dah berkeluarga. Lagilah seronok bila makan-makan bersama. Cuma satu saja masalah di perumahan saya ni, susah parking, tetamu terpaksa letak kereta di tepi jalan utama dan ia sangat berisiko. 

Friday, August 2, 2013

MESIN JUAL BUKU


Saya kira ini idea yang bagus, menjual buku menggunakan mesin seperti mesin minuman dalam tin. Jadi ia menjimatkan ruang dan tenaga manusia. Bila ditinjau pada mesin ini, kebanyakan buku yang dijual adalah novel. Mesin ini saya jumpa di salah satu stesen Metro di Madrid. Saya cukup tertarik dengan pendekatan ini. Mungkin budaya orang sana sudah ke depan maka buku atau novel sudah jadi barang keperluan atau barang yang selalu dicari seperti minuman. Maka adalah keperluan mengadakan mesin seperti ini.

Mungkin orang kita belum bersedia atau tak mendatangkan keuntungan kepada penerbit. Ya lah kos sewa mesin pun perlu diambil kira. Lagi pun orang kita masih mengamalkan kaedah membeli cara tradisi iaitu membelek, merasai kertas buku itu, membaca sinopsis, kalau suka mereka belilah. Orang di sana, mereka buat survey di internet dulu kemudian baru mencari bukunya.

Jauh berjalan banyak melihat...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...